Images
  • siti
    (Gambar: Siti Nurhaliza Tarudin/Instagram)

Kempen Simplysiti Di Hati biaya pembedahan 5 kanak-kanak kurang berkemampuan

KUALA LUMPUR: Kempen Simplysiti Di Hati yang diadakan tahun lepas berjaya mengumpul dana RM171,145 (S$57,380) bagi membantu membiayai kos pembedahan lima kanak-kanak yang tidak berkemampuan.

Lima kanak-kanak itu -- Siah Wan Ying, Nurul Syamimi Ahmad Paridon, Auni Insyirah Muhammad Firdaus Hilmi, Auni Mardhiyah Ahmad Hanafi dan R. Mugilan yang kesemuanya berumur dalam lingkungan dua hingga empat tahun, selamat menjalani pembedahan dan kini dalam proses penyembuhan.

Majlis penyerahan cek oleh Presiden Simplysiti Sdn Bhd, Siti Nurhaliza Tarudin kepada Ahli Lembaga Pemegang Amanah Yayasan Institut Jantung Negara (IJN) Raja Zuraida Raja Mansur untuk disalurkan kepada Tabung Yayasan IJN, diadakan di sebuah pusat beli belah malam tadi (7 Feb).

Bagi penyanyi tersohor negara itu, peluang turun padang membantu anak-anak yang kurang berkemampuan memberikan kepuasan yang tidak terungkap dengan perkataan lebih-lebih lagi dapat melihat sendiri wajah insan terlibat.

"Ini pengalaman yang indah apabila turun padang dan melihat sendiri wajah-wajah yang menyokong misi Simplysiti untuk membantu mereka yang memerlukan bantuan khususnya kanak-kanak bermasalah jantung," katanya.

Setakat ini, kempen yang diperkenalkan pada 2011 itu telah mengumpul dana lebih RM200,000 (S$6,700) dan disalurkan kepada Yayasan IJN untuk membantu rawatan 14 kanak-kanak pelbagai kaum yang menghidap penyakit jantung.

- BERNAMA/TQ/tq

Top