Skip to main content

Iklan

Iklan

Hiburan

Keluarga tidak tahu-menahu tentang filem 'Mahathir, The Journey'; Marina anggapnya memalukan

Aktivis sosial yang juga anak kepada Perdana Menteri Malaysia, Marina Mahathir, menganggap filem tentang bapanya berjudul 'Mahathir, The Journey' sebagai memalukan. Beliau malah berkata projek filem tersebut tidak pernah mendapat sebarang pengesahan daripada keluarganya, lapor Sinar Harian.

Anggaran Waktu Membaca:
Keluarga tidak tahu-menahu tentang filem 'Mahathir, The Journey'; Marina anggapnya memalukan

Marina bersama bapanya, Perdana Menteri Malaysia Mahathir Mohamad. (Gambar: Twitter/Marina Mahathir)

Diterbitkan : 14 Nov 2019 11:36AM Dikemas Kini : 14 Nov 2019 11:46AM

KUALA LUMPUR: Aktivis sosial yang juga anak kepada Perdana Menteri Malaysia, Marina Mahathir, menganggap filem tentang bapanya berjudul 'Mahathir, The Journey' sebagai memalukan. Beliau malah berkata projek filem tersebut tidak pernah mendapat sebarang pengesahan daripada keluarganya, lapor Sinar Harian.

Anak sulung kepada Dr Mahathir Mohamad itu tampil mengatakan bahawa beliau dan ahli keluarga yang lain tidak mengetahui mengenai filem berkenaan.

Dipetik menerusi ciapan Twitter pada Selasa lalu (12 Nov), Marina berkata beliau hanya mengetahui kewujudan wataknya dalam filem berkenaan melalui media.

Sementara itu, berdasarkan laporan Sinar Harian, Penerbit Reliance Media Group Sdn Bhd, Yusuf Kelana, berkata projek filem 'Mahathir, The Journey' akan tetap diteruskan meskipun tidak menerima persetujuan daripada mana-mana watak terlibat.

Encik Yusuf menjelaskan bahawa pihaknya sudahpun mendapatkan kebenaran daripada Pejabat Perdana Menteri (PMO) dan akan menghantar surat rasmi kepada semua watak tersebut dalam masa terdekat.

“Kita sudah memulakan projek filem ini kira-kira tujuh bulan lalu dan skrip filem tersebut melalui proses rombakan sebanyak 12 kali sebelum mendapat kelulusan 100 peratus daripada PMO.

“Apabila PMO telah memberikan kebenaran, barulah kita lancarkan filem ini dan kemudian barulah kesemua watak terlibat akan dimaklumkan secara rasmi dalam masa terdekat.

“Walaupun mungkin akan ada yang tidak bersetuju, kita akan teruskan projek ini kerana setiap watak mempunyai peranan dalam perjuangan Perdana Menteri Dr Mahathir Mohamad,” jelasnya kepada portal berkenaan.

Mengulas tentang kenyataan Cik Marina, Encik Yusuf berkata, filem tersebut menjulang perjuangan Dr Mahathir dan watak Marina diperlukan kerana beliau merupakan sebahagian keluarga tokoh politik tersebut.

“Filem ini dibuat untuk menceritakan bagaimana perjuangan Dr Mahathir dan bukannya mengenai kisah Marina, namun watak Marina perlu ada.

“Sebenarnya selepas pelancaran filem tersebut, kita ada menghubungi pembantu Marina, malah pelakon watak Marina iaitu Ning Baizura juga ada menghubunginya.

“Memandangkan ini adalah kisah sebenar mengenai Tun Mahathir, jadi watak-watak di sekeliling juga perlu ada. Semua watak, jalan cerita, skrip serta lokasi adalah sama dan tidak akan diubah,” katanya.

Filem 'Mahathir, The Journey' berkisarkan perjalanan kehidupan Dr Mahathir selepas melepaskan jawatan sebagai Perdana Menteri pada 2003 sehingga dilantik semula pada 2018.

Selain Ning Baizura yang membawakan watak Marina, barisan pelakon yang lain ialah Azhar Amir (Dr Mahathir), Fauziah Latiff (Tun Dr Siti Hasmah Mohd Ali), Hilal Azman (Anwar Ibrahim), Dian P Ramlee (Dr Wan Azizah Wan Ismail), Lisdawati (Nurul Izzah Anwar), Dazrin Kamarudin (Syed Saddiq Syed Abdul Rahman), Afieq Hussain (Mukhriz Mahathir) dan Harminder Singh (Gobind Singh Deo).

Filem arahan Profesor Mohamad Hatta Azad Khan bernilai kira-kira RM6 juta (S$1.9 juta) itu akan memulakan penggambaran pada Disember ini. 

Sumber : Agensi berita/FZ/fz
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Iklan

Lebih banyak artikel Berita

Iklan