Skip to main content

Iklan

Iklan

Hiburan

Kassim Selamat tidak sempat rakam 2 lagu ciptaannya

Penyanyi utama Kumpulan The Swallows era 60-an, Allahyarham Kassim Rahmat, atau lebih dikenali sebagai Kassim Selamat, yang meninggal dunia pada Ahad (26 Mei) tidak sempat merakamkan dua lagu ciptaannya dalam bahasa Bawean.

Anggaran Waktu Membaca:
Kassim Selamat tidak sempat rakam 2 lagu ciptaannya

Allahyarham Kassim Rahmat. (Gambar: Dr Maszlee Malik/Facebook)

Diterbitkan : 27 May 2019 11:14PM Dikemas Kini : 27 May 2019 11:22PM

SINGAPURA: Penyanyi utama Kumpulan The Swallows era 60-an, Allahyarham Kassim Rahmat, atau lebih dikenali sebagai Kassim Selamat, yang meninggal dunia pada Ahad (26 Mei) tidak sempat merakamkan dua lagu ciptaannya dalam bahasa Bawean.

Menceritakan hal itu, adik kepada Allahyarham, Encik Abdolah Lamat berkata, “Saya akan pastikan lagu ciptaan abang saya ini akan menjadi kenyataan.

“Mungkin kita beri peluang kepada penyanyi muda untuk mendedangkannya nanti,” katanya ketika dihubungi Bernama.

Allahyarham Kassim, 84 tahun, menghembuskan nafasnya yang terakhir pada pukul 3.30 petang di rumahnya di Yishun.

The Swallows, kumpulan gitar rancak, dulu lebih sering dipanggil ‘kugiran’, mempunyai keunikan tersendiri kerana selalu mempopularkan lagu-lagu dalam bahasa Bawean.

Antara lagu-lagu itu ialah La Obe, Nga lompak AGo Go, Angkok Angkok Bilis, La Karebna, Leh Paju Molle dan La Ngomber. 

Menurut Encik Abdolah, abangnya menggunakan nama “Kassim Selamat” sempena watak “Kassim Selamat” dari filem ‘Ibu Mertuaku’ yang dibawa oleh Allahyarham Tan Sri P Ramlee.

Dilaporkan Kassim menggantikan Allahyarham Datuk Ahmad Daud sebagai penyanyi utama kugiran tersebut yang pada awalnya dikenali dengan lagu Si Manis 17.

Kumpulan The Swallows yang pernah terbabit dalam persembahan muzikal Suzana@60-an di Istana Budaya pada tahun 2006, turut pernah mengiringi Allahyarham Biduanita Datin Rafeah Buang.

Allahyarham, anak kedua dari sembilan orang adik beradik, meninggalkan seorang isteri Cik Radiah Hadar dan empat orang anak.

Jenazah Allahyarham selamat dikebumikan di Pusara Abadi, Choa Chu Kang hari ini (27 Mei).

“Urusan pengebumian berjalan baik. Allahyarham selamat dikebumikan sekitar pukul 11.30 pagi,” kata Encik Abdolah, 72.

Beliau berkata dua pemain gitar Kumpulan The Swallows dan penyanyi A Romzi turut hadir di majlis pengebumian.

Anak perempuannya Kasmawati Kassim berkata bapanya menghidap sakit dementia sejak lapan tahun yang lalu.

"Ibu yang setia menjaga bapa di rumah," katanya ketika dihubungi Bernama. 

Sumber : Bernama/SM/sm
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Iklan

Lebih banyak artikel Berita

Iklan