Skip to main content

Iklan

Iklan

Hiburan

Kanak-kanak istimewa ikuti terapi muzik Awi Rafael tunjuk perkembangan positif

Pengalaman melihat sendiri betapa besarnya dugaan golongan ibu bapa yang mempunyai anak istimewa membuatkan Awi Rafael, 33 tahun, terpanggil untuk menghulurkan bantuan.

Anggaran Waktu Membaca:
Kanak-kanak istimewa ikuti terapi muzik Awi Rafael tunjuk perkembangan positif

(Gambar: Awi Rafael/Instagram)

Diterbitkan : 19 Aug 2019 11:33AM Dikemas Kini : 19 Aug 2019 11:37AM

KUALA LUMUR: Pengalaman melihat sendiri betapa besarnya dugaan golongan ibu bapa yang mempunyai anak istimewa membuatkan Awi Rafael, 33 tahun, terpanggil untuk menghulurkan bantuan.

Berbekal kemahiran muzik dan ilmu psikologi yang dipelajari, penyanyi berasal dari Singapura itu membuka sebuah akademi dipanggil Newsantara yang menawarkan khidmat terapi muzik kepada kanak-kanak autisme serta disleksia.

Setakat ini, lapor Utusan Online, Newsantara yang terletak dalam Kafe Bakerfellas di Ara Damansara mempunyai 30 orang pelajar terdiri daripada kanak-kanak istimewa dari pelbagai daerah termasuk luar Lembah Klang.

Bahkan, Awi berbangga kerana ada beberapa pelajar yang sudah menunjukkan perkembangan positif sejak mengikuti kelas pembelajaran dalam tempoh sebulan.

“Selepas empat kali sesi, ada pelajar menunjukkan perubahan yang sangat mengejutkan. Daripada sukar bercakap, mereka sekarang sudah boleh menyebut dan kenal ABC.

“Malah, ada ibu yang menangis di depan saya kerana terlalu gembira melihat anak mereka memberikan respon positif itu.

“Saya faham apa yang mereka rasakan kerana saya lihat sendiri dugaan dan cabaran mereka menguruskan anak istimewa, bukan seperti menjaga anak normal,” terangnya kepada Utusan Online sambil menyifatkan usahanya itu sebagai tanggungjawab sosial korporat (CSR).

(Gambar: Awi Rafael/Instagram)

Awi turut menerima sokongan dan perhatian daripada Persatuan Kebangsaan Autism Malaysia (NASOM) yang sekali gus menawarkan beliau mengajar di sekolah-sekolah khas.

PERKEMBANGAN DITONJOL KANAK-KANAK LEBIH INDAH DARIPADA MEMENANGI ANUGERAH

Pelantun suara lagu 'Manusia Sempurna ini' seronok mencurah ilmu seni kepada anak-anak istimewa itu lebih-lebih setelah melihat teknik pengajarannya berhasil namun, beliau akui bukan mudah untuk ‘mengawal’ apatah lagi mahu mengambil hati mereka.

Ynag membuatkan beliau lebih tersentuh hati adalah apabila anak-anak itu boleh sekurang-kurangnya sudah mahu membuka mulut dan mengenal abjad.

“Semasa mengajar, saya juga berdepan dengan cabaran tetapi saya atasinya dengan menggunakan ilmu psikologi yang pernah saya pelajari.

“Untuk membina kepercayaan, saya akan bernyanyi atau bermain dram depan mereka. Lama-kelamaan mereka mesra dengan saya. Selain itu, saya gunakan teknik seperti pernafasan, aroma terapi dan terapi zikir di dalam kelas.

“Sukar menggambarkan apa yang saya rasa apabila mereka sudah boleh bertutur dan mengenal abjad. Perasaan itu lebih daripada seperti memenangi anugerah,” katanya yang mempunyai ijazah dalam bidang pengurusan undang-undang dan psikologi.

BAKAL TERBITKAN BUKU TENTANG PROGRAM INTENSIF AWAL

Selain itu, menurut Utusan Online, beliau bersama seorang doktor sedang menulis sebuah buku mengenai program intensif awal untuk kanak-kanak istimewa dan mempunyai masalah lambat bertutur.

Dengan mengenakan yuran RM380 (S$126) untuk empat kali sesi, akademi tersebut diusahakan bersama pelakon Aiman Hakim Ridza.

Bukan hanya akademik untuk anak-anak autisme, Newsantara turut menawarkan kelas bagi mereka yang berminat mahu belajar bermain alat muzik. 

Sumber : Agensi berita/FZ/fz
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Iklan

Lebih banyak artikel Berita

Iklan