Images
  • justice league
    (Gambar: Warner Bros)

Justice League versi 'Zack Snyder's cut' mula ditayangkan di S'pura

SINGAPURA: Peminat yang kecewa dengan filem Justice League 2017 akhirnya dapat melihat visi pengarah asal filem yang menyatukan beberapa adiwira DC Comics di layar perak buat pertama kalinya.

Filem Justice League versi Zack Snyder ditayangkan pada Khamis (18 Mac) di HBO Max, khidmat penstriman langganan yang dilancarkan tahun lalu oleh AT&T Inc. Di Singapura, filem tersebut ditayangkan pada 3.01 petang waktu tempatan melalui khidmat penstriman HBO Go, di meWATCH.

"Filem ini tidak akan wujud sama sekali tanpa peminat, tanpa tekanan peminat dan desakan berterusan dan tanpa dedikasi mereka pada tahap yang tidak dapat anda bayangkan," kata Snyder kepada Reuters dalam satu wawancara.

Snyder dan isterinya Deborah, seorang penerbit, meninggalkan filem asal tersebut sebelum ia diselesaikan, susuli kematian anak perempuan mereka. Filem tersebut disempurnakan oleh pengarah Avengers Joss Whedon dan menerima sambutan hambar oleh pengkritik dan peminat yang menganggap jalan ceritanya terputus-putus dan kesan visualnya tidak kemas.

Peminat mula melobi WarnerMedia untuk mengeluarkan filem versi Snyder. Mereka malah membeli papan iklan di Times Square New York pada Oktober 2019 untuk mempromosikanhasrat mereka itu.

Dalam langkah yang jarang berlaku, syarikat itu bersetuju dan membiarkan Snyder mengolah semula versi hitam-putih yang diselesaikannya pada 2017.

Filem baru itu menyelami dengan lebih terperinci kisah pelbagai watak filem tersebut, termasuk Superman, Batman, Wonder Woman, The Flash, Aquaman dan Cyborg, serta menerangkan motif musuh mereka, Steppenwolf. Bintang-bintang versi itu termasuk Ben Affleck sebagai Batman, Henry Cavill sebagai Superman dan Gal Gadot sebagai Wonder Woman.

Pengkritik secara amnya memuji versi Snyder. Sehingga Selasa, filem tersebut mendapat penilaian positif 77 peratus di Rotten Tomatoes, sebuah laman yang mengumpulkan ulasan, berbanding 40 peratus bagi filem versi 2017.

Filem tersebut sepanjang empat jam dan dibahagi kepada empat bahagian sepanjang sekitar 30 minit setiap satu untuk memberi pilihan bagi penonton di rumah, jelas Deborah Snyder.

"Mereka boleh menontonnya, menonton semua sekaligus atau menontonnya bahagian demi bahagian," ujar beliau.

Justice League versi Zack Snyder ditayangkan pada 18 Mac, 3.01 petang di HBO GO, yang boleh didapati di meWATCH. Penonton boleh memilih pakej langganan tiga bulan pada harga dua bulan berharga S$27.96 (harga biasa S$41.94), atau langganan 12 bulan S$119.98 dengan baucar Grab Food S$10 percuma. Tawaran berakhir 15 Apr. 

- Reuters/TQ/tq

Top