Images
  • gv6 - jatt ali
    (Gambar: Freda Hassan)

Jatt nafi terlebih yakin pada minggu kedua pertandingan Gegar Vaganza

MALAYSIA: Sebilangan peminat vokalis Black Dog Bone, Jatt Ali, mungkin berasa hampa dengan keputusan minggu kedua pertandingan Gegar Vaganza (GV) minggu lalu.

Meskipun muncul juara pada minggu pertama, Jatt ditempatkan di tempat tiga paling corot pada minggu kedua oleh juri, setelah mendendangkan lagunya sendiri, 'Dulu dan Sekarang'.

"Terus terang saya tak kecewa atau terperanjat pun apabila diumumkan berada di tangga tiga terbawah. Itu penilaian juri dan saya menghormatinya, mungkin minggu ini saya kurang garam," kata Jatt seperti dilaporkan Gempak.

"Saya tidak mempertikaikannya dan ia bagus untuk saya. Apabila jatuh, saya perlu bekerja lebih keras dan buat lebih baik minggu hadapan."

Mengulas sama ada beliau terlalu yakin atau 'overconfident', Jatt menjawab: "Soal terlalu yakin tidak timbul sebab lagu itu sudah saya nyanyikan sejak 30 tahun lalu, sudah biasa.

"Tidak salah pun saya menyanyikan dengan cara saya selama ini, lainlah kalau saya nyanyi lagu orang".

Gempak melaporkan pada persembahan konsert kedua Gegar Vaganza, Jatt menerima kritikan daripada juri Hetty Koes Endang supaya mewarnai persembahannya dengan lebih dinamik dan mengajak penonton bernyanyi bersama-sama.

Persembahan Jatt kali ini jauh berbeza daripada minggu pertama, apabila dendangan lagu 'Khayalan' meletakkannya di tempat pertama pusingan tersebut dengan jurang mata yang amat ketara.

Jatt pada persembahan itu mendapat markah 84.57 peratus - perbezaan lebih 10 peratus berbanding Hady Mirza dan Wann yang masing-masing mengutip markah 74.33 peratus dan menduduki tempat kedua dan ketiga.

- Agensi berita/TQ/tq

Top