Images
  • jason mraz
    (Gambar: Instagram/Jason Mraz)

Jason Mraz buat video muzik di Haji Lane

SINGAPURA: Kawasan di sekitar Haji Lane yang penuh dengan rumah-rumah kedai dan kafe kerap dipaparkan di akaun-akaun Instagram warga tempatan dan para pelancong. Namun baru-baru ini, martabat pusat hipster Kota Singa ini nampaknya naik setapak lagi - setelah ia ditampilkan dalam sebuah video muzik penyanyi terkenal, Jason Mraz.

Bintang yang terkenal dengan lagu hit I'm Yours itu muncul dalam video lagu Could I Love You Any More - satu persembahan duet dengan penyanyi dan penulis lagu dari Filipina, Renee Dominique.

Kedua-dua penyanyi itu kelihatan duduk di luar sebuah kafe dengan jendela merah jambu di latar belakangnya, sebelum berjalan-jalan menyusuri rumah-rumah kedai di kawasan itu.


Menurut catatan Instagram Mraz, video itu dirakam di Manila dan Singapura dan berkisarkan "perjalanan dua penulis lagu merealisasikan sebuah idea, dari sekuntum bunga dalam fikiran hingga membuahkan karya berwarna-warni".

Dominique adalah seorang penyanyi 20 tahun yang Mraz temui secara online apabila wanita itu mendendangkan 'cover' Somewhere Only We Know, nyanyian asal Keane. Penyanyi 41 tahun itu kemudian mengajukan idea sebuah kolaborasi kepada Dominique, yang disifatkan Mraz sebagai "artis baru yang menyerlah".

Could I Love You Any More diterbitkan hujung Mei dan videonya dikeluarkan pada 13 Jun. Ia mencatat views sebanyak dua juta kali dalam tempoh seminggu, dan setakat hari ini (4 Jul) hampir mencecah lima juta tontonan. Dominique juga mendendangkan lagu itu bersama Mraz semasa konsertnya di Singapura dan Manila baru-baru ini.

Menurut Mraz, kedua-dua mereka merakam lagu tersebut tanpa bertemu secara langsung dan sebaliknya bekerjasama secara online.

"Meskipun kami belum bersua ketika itu, saya rasakan seperti saya kenal Renee hanya menerusi merdu suaranya. Saya tertarik dengan tone dan perwatakan suaranya dan menerusi proses menulis bersama lagu itu, tertarik untuk berharmoni dan membuat kemunculan dalam lagu itu. Saya amat berbesar hati kerana diberi peluang membuat penampilan, namun saya tampil sebagai seorang peminat," kongsi Mraz kepada agensi berita Filipina, ABS-CBN News.

- CNA/TQ/tq

Top