Images
  • maya karin ig post
    (Gambar: Instagram/Maya Karin)

Jangan hanya sedekah pada bulan Ramadan, kata Maya Karin

MALAYSIA: Jika ingin menghulurkan bantuan, terutamanya sumbangan makanan, usahlah setakat tumpukan kepada bulan Ramadan sahaja.

Demikian luahan pelakon Malaysia, Maya Karin baru-baru ini ketika dihubungi Malaysiakini.

Menurut pelakon 39 tahun itu, luahannya dibuat selepas beliau menghubungi beberapa rumah anak yatim dan mendapati rumah-rumah itu sudah menerima "terlebih-lebih makanan".

“Saya sudah hubungi kira-kira 10 rumah anak yatim nak sumbangkan makanan pada Ramadan ini. Tapi mereka bagi tahu sudah terlebih-lebih makanan.

“Saya nak bagi, tapi mereka terpaksa tolak disebabkan sudah berlambak-lambak makanan,” katanya seperti dinukil Malaysiakini.

BANTUAN BENTUK LAIN, BULAN LAIN

Sebaliknya, pelakon itu menyarankan agar bantuan dihulurkan kepada yang memerlukan pada bulan-bulan lain juga dan bukan setakat bulan Ramadan.

“Tolong buka minda, jangan hulur sumbangan cuma di bulan Ramadan. Dalam setahun ada 12 bulan, jangan hanya fokus pada bulan ini saja.

“Bagaimana dengan bulan-bulan yang lain? Adakah mereka perlu dibiarkan berlapar?” katanya.

Selain itu beliau menyarankan agar pihak-pihak yang mempunyai rezeki lebih boleh mempertimbangkan bentuk bantuan yang lain dan bermanfaat, selain bantuan makanan.

“Macam mana dengan pendidikan, aktiviti atau pendedahan di waktu senggang?

“Jika ada datuk atau mana-mana ahli perniagaan, bawalah anak-anak yatim ni merasa pergi bercuti di Thailand ke atau pantai dan bermain dengan haiwan laut.

“Ini hanya cadangan daripada saya,” kata Maya.

- Agensi berita/TQ/tq

Top