Skip to main content

Iklan

Iklan

Hiburan

Jamie Foxx pegang watak Mike Tyson bagi rancangan TV terbitan Martin Scorsese

Jamie Foxx memenangi Oscar atas lakonannya yang memukau semasa memainkan watak legenda muzik Ray Charles. Kini, beliau kelihatan sudah bersedia untuk menjayakan kisah kehidupan seorang lagi ikon - petinju kontroversial Mike Tyson.

Anggaran Waktu Membaca:
Jamie Foxx pegang watak Mike Tyson bagi rancangan TV terbitan Martin Scorsese

(Gambar: Amy Sussman; Noam Galai/Getty Images North America/Getty Images via AFP)

Diterbitkan : 23 Mar 2021 01:47PM Dikemas Kini : 23 Mar 2021 01:53PM

AMERIKA SYARIKAT: Jamie Foxx memenangi Oscar atas lakonannya yang memukau semasa memainkan watak legenda muzik Ray Charles. Kini, beliau kelihatan sudah bersedia untuk menjayakan kisah kehidupan seorang lagi ikon - petinju kontroversial Mike Tyson.

Rancangan televisyen bersiri mengenai "Iron Mike" sedang dihasilkan, umum petinju itu, dengan Antoine Fuqua (Training Day) bakal mengarahkannya sebagai sutradara dan Martin Scorsese turut menganggotai pasukan penerbitan.

"Saya sudah lama ingin menceritakan kisah saya," kata Tyson dalam kenyataannya yang dikeluarkan kepada AFP pada Isnin (22 Mac), yang mengesahkan maklumat yang pertama kali dilaporkan oleh The Hollywood Reporter.

"Saya mengalu-alukan kerjasama dengan Martin, Antoine, Jamie dan seluruh pasukan kreatif untuk menghasilkan siri ini bagi penonton yang tidak hanya merakam perjalanan profesional dan peribadi saya tetapi juga memberi inspirasi dan menghiburkan."

Jurucakap Fuqua mengesahkan beliau terlibat dengan projek itu. Sejauh ini, siri tersebut belum diperolehi oleh mana-mana rangkaian televisyen atau khidmat penstriman, menurut The Hollywood Reporter.

Tyson mengatakan bahawa kemunculannya di gelanggang baru-baru ini - beliau bertarung dengan Roy Jones Jr dalam satu pertarungan persahabatan pada November 2020, pada usia 54 tahun - menjadikan rancangan ini masa yang tepat untuk menceritakan perjalanan hidupnya.

Bekas juara kelas berat dunia itu adalah antara tokoh tinju yang paling berjaya - dan paling kontroversial. Dianggap sebagai salah seorang petinju kelas berat terbaik sepanjang masa, beliau mencatatkan rekod 50 kemenangan berbanding 6 kekalahan dan bersara pada 2005 selepas tewas di tangan Kevin McBride.

Namun Tyson juga terkenal dengan tingkah lakunya yang tidak menentu - menggigit sebahagian telinga Evander Holyfield sehingga tertanggal sebelum kalah dalam pertarungan mereka pada 1997 - dan pelanggaran undang-undang, termasuk sabitan kes rogol dan ketagihan kokain.

Pada lewat Februari, wadah penstriman Hulu mengumumkan bahawa pihaknya sedang menerbitkan siri terhad mengenai petinju yang berjudul Iron Mike.

Tyson ketika itu berkata bahawa projek itu tidak mendapat restu beliau dan beliau juga tidak akan memperolehi apa-apa daripada "penyelewengan budaya tidak sensitif" daripada kisah hidupnya. Beliau juga menggesa para penonton supaya memulaukan Hulu.

Sumber : AFP/TQ/tq
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Iklan

Lebih banyak artikel Berita

Iklan