Skip to main content

Iklan

Iklan

Hiburan

Jalan raya kosong jadi 'sesak' di Google Maps gara-gara kerenah seorang artis

Seorang artis di Berlin memperdaya Google Maps untuk mengeluarkan makluman kesesakan lalu lintas dengan menarik 99 telefon bimbit yang dihidupkan khidmat lokasinya, menggunakan kereta sorong kecil.

Anggaran Waktu Membaca:
Jalan raya kosong jadi 'sesak' di Google Maps gara-gara kerenah seorang artis

Karya 'Google Maps Hacks'oleh Simon Weckert (Gambar: Simon Weckert)

Diterbitkan : 06 Feb 2020 11:47PM Dikemas Kini : 06 Feb 2020 11:52PM

BERLIN: Seorang artis di Berlin memperdaya Google Maps untuk mengeluarkan makluman kesesakan lalu lintas dengan menarik 99 telefon bimbit yang dihidupkan khidmat lokasinya, menggunakan kereta sorong kecil.

Simon Weckert, yang menamakan persembahan seninya "Google Maps Hacks" menyusuri jalan raya Berlin dengan menarik kereta sorong merah yang dilonggokkan dengan telefon bimbit terpakai yang dipinjam atau disewa.

CNN melaporkan, artis itu berjalan perlahan-lahan dekat Sungai Spree yang lengang, namun berjaya memperdaya Google Maps untuk 'berfikir' bahawa longgokan telefon itu adalah lalu lintas yang bergerak perlahan.

Ini menyebabkan aplikasi Google Maps mengeluarkan makluman kesesakan lalu lintas di mana-mana beliau berjalan.

KESAN PADA DUNIA FIZIKAL

Bagi seorang pemerhati rambang, tindakan Weckert mungkin dianggap ganjil ataupun tidak berfaedah. Namun CNN melaporkan artis itu sebagai berkata dalam lamannya bahawa persembahan seninya itu "menyebabkan kesan ke dunia fizikal" kerana kenderaan terpaksa melencongkan perjalanan untuk elak 'kesesakan' yang pada hakikatnya tiada.

Weckert menambah, karyanya itu menarik perhatian kepada "kebutaan" yang timbul apabila seseorang menganggap data sebagai "objektif, tidak samar-samar dan tanpa perlu tafsiran" semata-mata.

Karya Weckert dilakukan hanya beberapa hari sebelum ulang tahun ke-15 aplikasi Google Maps diasaskan.

Beliau bukan individu pertama yang 'mempermainkan' kaedah pengumpulan data Google.

Pada 2015, Google menggantung alat Map Maker awam setelah beberapa individu nakal mereka mercu tanda palsu pada peta, termasuk sebuah taman di Pakistan berbentuk robot Android yang buang air kecil ke atas logo Apple.
 

Sumber : Agensi berita/TQ/tq
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Iklan

Lebih banyak artikel Berita

Iklan