Skip to main content

Iklan

Iklan

Hiburan

Jaga adab dan nilai kesopanan, pesan Allahyarham A Rahman Hassan buat anak-anak

Pelakon dan pengarah Malaysia, Khir Rahman berkata arwah bapanya iaitu A Rahman Hassan selalu mengingatkan beliau adik-beradik supaya menjaga adab serta nilai kesopanan dalam menjalani kehidupan seharian.

Anggaran Waktu Membaca:
Jaga adab dan nilai kesopanan, pesan Allahyarham A Rahman Hassan buat anak-anak

Penyanyi pop yeh yeh era 1960-an A Rahman Hassan. (Gambar: queenb2bee/Instagram)

Diterbitkan : 16 Jun 2019 08:42PM Dikemas Kini : 16 Jun 2019 08:48PM

KUALA LUMPUR: Pelakon dan pengarah Malaysia, Khir Rahman berkata arwah bapanya iaitu A Rahman Hassan selalu mengingatkan beliau adik-beradik supaya menjaga adab serta nilai kesopanan dalam menjalani kehidupan seharian.

Itulah antara amanat yang sering diluahkan Allahyarham bukan hanya kepada darah dagingnya sahaja, malah pesanan serupa turut disampaikan kepada kenalan rapatnya.

"Ayah seorang yang tenang dan tidak pernah meninggikan suara. Arwah juga mementingkan kekemasan dan sangat disenangi orang lain kerana sikapnya itu. Peribadinya itu menjadi contoh kepada kami,” kata bintang filem 'Rock' itu ditukil BH Online.

Khir turut memaklumkan arwah bapanya juga tegas dalam memastikan penggunaan bahasa Melayu yang tepat.

“Boleh dikatakan bapa ialah orang bahasa. Beliau terkilan apabila melihat atau mendengar penggunaan bahasa Melayu rojak dan ditutur sesuka hati," ujarnya.

Khir atau nama sebenarnya, Khairulizam, 47 tahun, turut berkongsi arwah bapanya begitu teruja untuk meraikan ulang tahun kedua cucunya - yang jatuh pada Khamis (13 Jun) - namun hasrat itu tidak kesampaian apabila beliau dijemput Ilahi terlebih dahulu pada jam 12.40 tengah malam Khamis.

Menurut Khir, ketika mereka sekeluarga bersama-sama menyambut Syawal baru-baru ini, bapanya sempat meluahkan hasrat supaya sambutan hari lahir cucu lelakinya diadakan di rumahnya.

“Tidak sangka, ia menjadi petanda arwah akan pergi buat selama-lamanya pada tarikh sama iaitu 13 Jun,” katanya.

Penyanyi popular era 1960-an itu menghembuskan nafas terakhir di Hospital Ampang, Kuala Lumpur, pada usia 73 tahun akibat pendarahan pada bahagian otak.

Menurut BH Online, selain Khir yang mengikut jejak langkahnya dalam arena seni, A Rahman turut dikurniakan dua lagi anak iaitu Khairulilmi dan Khairulazmi hasil perkahwinan pertamanya dengan Allahyarhamha Azizah Mohamad.

Bagaimanapun, anak keduanya iaitu Khairulilmi meninggal dunia pada 2016 akibat barah manakala isterinya pula menghembuskan nafas terakhir enam tahun lalu setelah menderita barah pangkal rahim.

Allahyarham mendirikan rumah tangga buat kali kedua dengan pelakon, Fadilah Mansor, pada Disember 2014.

Sumber : Agensi berita/FZ/fz
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Iklan

Lebih banyak artikel Berita

Iklan