Skip to main content

Iklan

Iklan

Hiburan

Jadi lebih maju dengan kuasai pelbagai bahasa, kata Maya Karin

Tanpa mengetepikan kepentingan bahasa kebangsaan, pelakon seberang tambak, Maya Karin, mengajak orang ramai menimba kemahiran komunikasi menerusi penguasaan lebih daripada satu bahasa.

Anggaran Waktu Membaca:
Jadi lebih maju dengan kuasai pelbagai bahasa, kata Maya Karin
Diterbitkan : 06 Oct 2019 06:24PM Dikemas Kini : 06 Oct 2019 06:27PM

KUALA LUMPUR: Tanpa mengetepikan kepentingan bahasa kebangsaan, pelakon seberang tambak, Maya Karin, mengajak orang ramai menimba kemahiran komunikasi menerusi penguasaan lebih daripada satu bahasa.

Selebriti itu, juga terkenal sebagai seorang aktivis yang menyayangi alam sekitar, menyeru kepada rakyat Malaysia supaya meluaskan pengetahuan lebih daripada bahasa ibunda kerana ia berpotensi membuka lagi peluang untuk kemampanan seseorang individu.

“Agak janggal apabila ada orang Melayu yang hanya bertutur Bahasa Malaysia, orang Melayu yang hanya bercakap Bahasa Inggeris atau orang Cina mahupun India yang cuma bercakap dalam Bahasa Inggeris.

“Kita semua sepatutnya boleh bertutur dalam Bahasa Kebangsaan.

"Kalau kita boleh bercakap pelbagai bahasa, sudah tentu peluang yang ada untuk kita lebih besar," jelasnya ketika dihubungi Astro AWANI pada Sabtu (6 Okt).

Beliau dihubungi berikutan ciapan di akaun Twitternya dalam sebuah acara beberapa hari lalu yang menjadi buah mulut netizen sekali gus menerima maklum balas bercampur-campur.

Jelas Maya, untuk menjadi lebih maju, seseorang itu harus menguasai pelbagai bahasa termasuk Bahasa Inggeris memandangkan ia merupakan bahasa sejagat masa kini.

"Untuk kita lebih maju, Bahasa Inggeris sangat penting untuk kita berkomunikasi secara antarabangsa.

"Tiada kena mengena dengan (mengagungkan) bahasa kolonial dan bukan berat sebelah dengan bahasa Barat, cuma hakikatnya, kini Bahasa Inggeris ialah bahasa antarabangsa yang digunakan sekarang," ujar beliau.

Pandangan Maya itu turut dipersetujui oleh penganalisis politik, Karim Raslan, yang juga merasakan seseorang ndividu itu mempunyai kelebihan jika mampu menguasai lebih banyak bahasa. Ini seterusnya membuka lebih banyak pintu kepada pelbagai peluang baik dari segi pekerjaan, gaji mahupun ilmu pengetahuan.

Menyentuh tentang mereka yang malu untuk bertutur bahasa lain, Maya berkata baginya, tidak salah untuk mencuba asalkan apa yang disampaikan dapat difahami oleh orang sekeliling.

Maya juga memohon kepada pengguna media sosial supaya melihat konteks sebenar yang disampaikan seseorang sebelum mahu membuat sebarang ulasan mengenainya. 

Sumber : Agensi berita/FZ/fz
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Iklan

Lebih banyak artikel Berita

Iklan