Images
  • ito blues gang
    Vokalis Blues Gang Ito. (Gambar: Facebook / Geng Pontian) 

Ini bukan kerajaan yang makan ampu dan jilat seperti sebelum ini, nasihat Ito kepada rakan artis

KUALA LUMPUR: Vokalis Blues Gang, Ito, meminta rakan artis supaya lebih berhati-hati supaya tidak dipergunakan.

Kata penyanyi lagu Sakit, Sakit, Sakit itu dalam keadaan semasa beliau menjangkakan banyak 'ulat' muncul untuk menonjolkan diri kononnya pejuang seni yang sealiran dengan kerajaan.

"Mereka yang selama ini menjadi parasit dalam industri seni akan tampil dalam tempoh terdekat walaupun baru sehari dua lalu mereka adalah penentang kuat Pakatan Harapan," kata beliau kepada Malaysiakini.

Pakatan Harapan (HARAPAN) membentuk kerajaan selepas berjaya memperoleh kerusi majoriti di Dewan Rakyat hasil pilihan raya umum ke-14 pada 9 Mei lalu.

Ia adalah kejayaan pertama pakatan pembangkang mengetepikan BN sejak ia ditubuhkan.

Dengan kejayaan itu Putrajaya menyaksikan kemunculan semula Tun Dr Mahathir sebagai perdana menteri.

Menurut Ito, walaupun dari konteks demokrasi beliau bersikap terbuka dan terserah kepada mana-mana pertubuhan atau individu yang mahu berjumpa perdana menteri atau menteri.

Cuma pihak yang berkenaan perlu sedar kerajaan hari ini berbeza daripada BN dulu.

"Ini bukanlah kerajaan yang makan ampu dan jilat seperti yang sebelum ini.

"Jika mahu datang, datanglah dengan pendirian yang jelas dan rekod pencapaian yang cemerlang dari segi sumbangan terhadap industri," kata beliau.

Malaysiakini melaporkan bahawa kenyataan itu juga dibuat ekoran perkembangan semasa yang menampakkan terdapat pihak yang cuba mengadakan perhimpunan penggiat seni tidak lama lagi.

Menggunakan nama Pakatan Harapan, penganjur kononnya mengajak artis tanah air bertemu bagi membicangkan masa depan seni hiburan negara.

Hasil perbincangan itu didakwa akan dikemukakan kepada kerajaan bagi mendapat persetujuan dan pelaksanaan.

Kata Ito, sebenarnya dengan pembentukan kerajaan baru HARAPAN ini penggiat seni mempunyai peluang untuk membangunkan kembali bidang seni tanah air, terutamanya muzik yang agak malap selama ini.

"Tambahan pula perdana menteri belum membuat sebarang pelantikan menteri yang bertanggungjawab mengendalikan bidang seni dan penyiaran. Harap mereka boleh bersabar," kata beliau. 

- Agensi Berita/FA/fa

Top