Skip to main content

Iklan

Iklan

Hiburan

Ibu Aaron Aziz meninggal dunia pada usia 70 tahun

Ibu pelakon Singapura, Aaron Aziz, meninggal dunia pada usia 70 tahun. Allahyarhamha Juriana Jaafar meninggal dunia di Hospital Besar Changi (CGH) sekitar pukul 8.00 malam semalam (7 Nov), kata Diyana Halik isteri Aaron, kepada BERITAmediacorp.

Anggaran Waktu Membaca:
Ibu Aaron Aziz meninggal dunia pada usia 70 tahun

Aaron Aziz dan ibunya, Juriana Jaafar.

SINGAPURA: Ibu pelakon Singapura, Aaron Aziz, meninggal dunia pada usia 70 tahun.

Allahyarhamha Juriana Jaafar meninggal dunia di Hospital Besar Changi (CGH) sekitar pukul 8.00 malam semalam (7 Nov), kata Diyana Halik isteri Aaron, kepada BERITAmediacorp.

Semasa dihubungi Diyana memberitahu bahawa Aaron tidak dapat memberikan sebarang komen kerana suaminya itu masih bersedih atas pemergian ibu tersayang.

Allahyarhamha selamat dikebumikan tengah hari tadi (8 Nov).

Menurut Diyana, beliau, Aaron dan dua anak perempuan mereka - Dahlia Arissa dan Dwi Ariana - bergegas pulang ke Singapura pada Rabu lalu (4 Nov). Anak lelaki mereka Danish Anaqi tidak dapat pulang kerana berada di Jepun bagi pengajiannya.

Mereka dikenakan notis Jangan Keluar Rumah (SHN) di salah sebuah hotel setempat namun diberikan kebenaran terhad, mengikut syarat-syarat tertentu.

Mereka diberi izin untuk menziarahi Allahyarhamha pada Rabu lalu, Sabtu dan di tanah perkuburan hari ini.

“Kami diberi izin selama satu jam semalam untuk menziarahi ‘mummy’. Semalam Allahyarhamha sudah nazak. Jadi Aaron dapat berjumpa ‘mummy’ sebelum ibunya menghembuskan nafas terakhir. Selepas sahaja kami beredar, Allahyarhamha meninggal dunia,” kata Diyana, tentang detik-detik akhir ibu mentuanya yang mesra dipanggil ‘mummy’.

Diyana menambah, ibu mentuanya itu terlantar di CGH sejak 24 Oktober lalu dan Allahyarhamha meninggal dunia disebabkan masalah buah pinggang dan serangan jantung.

Hari ini, mereka sekeluarga diberi izin selama empat jam untuk ke tanah perkuburan bagi urusan pengebumian Allahyarhamha.

“Alhamdulillah urusan pengebumian dah selesai. Selepas sahaja Allahyarhamha diturunkan ke liang lahad, hujan pun mula turun renyai-renyai sebelum mula lebat. Kami di tanah kubur pun tiga jam sahaja sebab urusan pengebumian orang Islam cepat juga,” ujar Diyana.

Diyana menyifatkan Allahyarhamha sebagai seorang ibu yang amat penyayang. Malah sesiapa yang mengenali Allahyarhamha juga selesa memanggilnya 'mummy' ibarat ibu mereka sendiri.

Menerusi catatan di laman Instagram Diyana, beliau berkongsi rakaman audio yang memperdengarkan bagaimana Allahyarhamha membalas mesej menantunya itu.

Catatan Diyana itu sedikit sebanyak menyingkap tirai memperlihatkan kemesraan Allahyarhamha dengan menantunya itu.

Sebahagian catatannya berbunyi: "Awak yang pertama memberitahu saya sekiranya berat badan saya naik atau muka saya pucat. Hari Rabu semasa saya datang menziarahi, dengan tembel yang besar, walaupun dalam keadaan sakit, awak masih mampu bergurau mengatakan "kenapa saya nampak teruk" dan kita ketawa."

Di laman Instagram Aaron pula, beliau mendoakan ibunya menerusi catatan: "Hujan rahmat darimu Allah sebaik sahaja kami kebumikan bonda tercinta kami. Jadilah ini tanda bondaku sudah diampunkan dan ringankanlah alam barzakhnya hingga kami bertemu sekali lagi di jannatul Firdaus a'la."

Beliau turut melahirkan ucapan terima kasih kepada pegawai SHN yang membantu mempermudahkan urusan beliau sekeluarga serta para doktor dan jururawat.

"Terima kasih kami kepada semua doktor dan jururawat di CGH dan kepada pegawai SHN kami Cik Jill daripada PA," menurut catatan Aaron.

Diyana memberitahu BERITAmediacorp, proses SHN itu dikendalikan dengan begitu cekap.

"Kami malah diberi kereta khas bagi mereka yang diberi notis SHN. Mereka juga bersifat belas ihsan dan memahami kami yang sedang dirundung duka," tambah Cik Diyana.

Cik Diyana mengakhiri perbualan dengan berkata mereka sekeluarga tidak terburu-buru untuk pulang ke Kuala Lumpur memandangkan kedua anak perempuannya bersekolah secara online dan penggambaran filem terbaru Aaron juga ditangguh sementara sehingga Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB) di Malaysia ditarik balik. 

Sumber : BERITA Mediacorp/ha
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Iklan

Lebih banyak artikel Berita

Iklan