Images
  • harry potter daniel radcliffe rupert grint emma watson
    Gambar fail para pelakon utama filem Harry Potter di tayangan perdana New York pada 11 Jul 2011 (Gambar: Stephen Lovekin/Getty Images via AFP)

HBO Max, Warner Bros sangkal desas-desus siri Harry Potter sedang diterbitkan

AMERIKA SYARIKAT: Desas-desus semakin bertiup kencang berhubung siri TV 'Harry Potter' yang dipercayai sedang melalui proses penerbitan di HBO Max.

Memang sejak sekian lama siri baru melibatkan dunia 'Potter' itu sudah digembar-gemburkan, menurut laman hiburan Variety, namun tiada maklumat lanjut didedahkan.

Warner Bros dan HBO Max baru-baru ini menjawab teka-teki tersebut dengan menyatakan: "Tiada siri Harry Potter dihasilkan, baik di studio mahupun melalui wadah penstriman."

The Post menarik perhatian, meskipun setelah menerbitkan lapan filem pecah panggung (yang meraih pendapatan hampir AS$8 bilion di seluruh dunia), masih banyak bahan cerita yang boleh diteroka berdasarkan siri buku Harry Potter yang diterbitkan antara 1997 hingga 2007 itu.

Satu siri baru juga boleh dikeluarkan berlatarkan era lain dalam dunia Harry Potter.

Seperti francais 'Fantastic Beasts and Where to Find Them' yang berkisarkan zaman Perang Dunia Kedua, era 1970-an dan 80-an di sekolah Hogwarts juga dianggap menarik bagi televisyen.

Menurut The Post, kontroversi yang tercetus baru-baru ini melibatkan sesetengah komen penulis J.K. Rowling mengenai isu jantina mungkin menimbulkan cabaran kepada penerbitan siri Potter.

Francais 'Fantastic Beasts', yang masih mempunyai tiga filem yang belum diterbitkan, juga tidak terlepas daripada kontroversi, dengan bintang utamanya Johnny Depp digugurkan di tengah-tengah tuduhan yang mendakwa bahawa pelakon tersebut telah bertindak ganas terhadap bekas isterinya Amber Heard.

Pendek kata, masa depan penerbitan filem atau siri TV Harry Potter - yang sudah berhasil menjual lebih 500 juta naskah buku akan terus mendapat sambutan hangat - meskipun terkait dengan pelbagai kontroversi.
 

- Agensi berita/TQ/tq

Top