Skip to main content

Iklan

Iklan

Hiburan

Hantu Kak Limah 'mengganas' padam rekod Abang Long Fadil 2

Hantu Kak Limah sekali lagi melakar sejarah sebagai filem Melayu paling berjaya dari segi kutipan apabila memungut RM20.5 juta (S$6.9 juta) hasil penjualan tiket dalam tempoh hanya 11 hari tayangan.

Anggaran Waktu Membaca:
Hantu Kak Limah 'mengganas' padam rekod Abang Long Fadil 2

(Gambar: @uqashafabulous/Instagram)

Diterbitkan : 20 Aug 2018 10:43PM Dikemas Kini : 20 Aug 2018 10:56PM

MALAYSIA: Hantu Kak Limah sekali lagi melakar sejarah sebagai filem Melayu paling berjaya dari segi kutipan apabila memungut RM20.5 juta (S$6.9 juta) hasil penjualan tiket dalam tempoh hanya 11 hari tayangan.

Pencapaian itu sekaligus memadam rekod filem Abang Long Fadil 2, menurut Astro Awani.

Sebelum ini Abang Long Fadil 2 menjadi produksi paling laris dalam sejarah perfileman Malaysia dengan kutipan RM19.04 juta (S$6.4 juta) selepas ditayangkan selama 28 hari.

Astro Awani melaporkan bahawa jumlah kutipan penjualan tiket Abang Long Fadil 2 - filem terbitan Skop Productions dan Astro Shaw itu - merangkumi kutipan ditayang di Malaysia, Singapura dan Brunei.

“Hantu Kak Limah catat sejarah tangga pertama box office Malaysia, RM20.5 juta (S$6.9 juta). Terima kasih Malaysia,” menurut Astro Shaw di Twitter sebentar tadi.

Ini rekod keempat dilakar filem di bawah arahan Mamat Khalid yang diterbitkan Astro Shaw dan Infinitus Gold itu sejak ia ditayangkan di pawagam bermula 9 Ogos lalu, lapor Astro Awani.

Terdahulu, filem dibarisi pelakon seperti Datuk Awie, Delimawati, Zul Ariffin, Ropie Cecupak, Allahyarham Rab Khalid dan Uqasha Senrose itu mengutip RM13.6 juta (S$4.5 juta) untuk minggu pertama ia ditayangkan.

Pada hari pertama ia ditayangkan, filem komedi seram itu berjaya memperoleh kutipan RM1.8 juta (S$602,000) di pawagam.

Filem berlatarbelakangkan Kampung Pisang, sebuah lokasi rekaan itu masih rancak ditayangkan di sebanyak 146 pawagam.

Ia turut membariskan pelakon-pelakon lain seperti, Mus May, Sharwani, TJ Isa, Jue Aziz serta penampilan istimewa Erra Fazira dan Datuk Seri Vida.

Karya terbaru Mamat itu merupakan filem keempat membabitkan kisah Kampung Pisang selepas Zombie Kampung Pisang, Hantu Kak Limah Balik Rumah, dan Husin, Mon dan Jin Pakai Toncit. 

Sumber : Agensi berita/NA/na
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Iklan

Lebih banyak artikel Berita

Iklan