Images
  • Pak Ngah
    Pak Ngah Suhaimi. (Gambar: Ismawati)

Hajat sambut ulang tahun ke-60 tidak kesampaian, kata anak Pak Ngah

MALAYSIA: Ajal dan maut di tangan Tuhan. Hajat komposer terkenal untuk menyambut ulang tahunnya yang ke-60 tahun tidak kesampaian.

Menurut anak arwah, Nur Syafrina, 32 tahun, sebelum meninggal, bapanya tidak menunjukkan sebarang tanda-tanda dan perubahan sikap.

Bagaimanapun, bapanya mengalami kesukaran bernafas apabila tiba di hotel dan dikejarkan ke hospital oleh anak keduanya, Megat Mohd Syahraini.

"Ini merupakan kali pertama abah meminta untuk menyambut ulang tahun kelahirannya. Sebelum ini, kami sekeluarga yang akan merancang untuknya.

"Keinginan Allahyarham itu secara tidak langsung membuatkan kami berasa terkilan kerana tidak dapat menunaikan impiannya untuk menyambut ulang tahun kelahiran," katanya.

Astro Awani turut melaporkan bahawa hampir seramai 500 tetamu yang terdiri daripada ahli keluarga, rakan artis dan sahabat handai hadir bagi memberikan penghormatan terakhir kepada jenazah komposer itu.

Antara rakan artis yang turut hadir ialah Siti Nurhaliza, M Nasir, Noraniza Idris, Wany Hasrita, Syura Badron, Nassier Wahab, Edrie Hashim, Liza Abdullah dan ramai lagi.

Jenazah dikebumikan di Tanah Perkuburan Jalan Ampang, selepas solat Asar.

Arwah dikenali sebagai komposer dan pengarah muzik irama tradisional dan pop etnik, lapor Astro Awani lagi. 

- Agensi berita/NA/na

Top