Skip to main content

Iklan

Iklan

Hiburan

Hady Mirza pengacara bersama pertandingan realiti 'Dansa Dan Sing'

Hos program tarian dan nyanyian terbaru Dansa Dan Sing, Hady Mirza akui gementar mengendalikan konsert pertama pada malam Ahad (5 Dis).

Anggaran Waktu Membaca:
Hady Mirza pengacara bersama pertandingan realiti 'Dansa Dan Sing'

(Gambar: Astro Gempak)

Diterbitkan : 06 Jan 2020 02:33PM Dikemas Kini : 06 Jan 2020 02:37PM

MALAYSIA: Hos program tarian dan nyanyian terbaru Dansa Dan Sing, Hady Mirza akui gementar mengendalikan konsert pertama pada malam Ahad (5 Dis).

Menurut Astro Gempak, Hady yang bergelar juara peraduan nyanyian Gegar Vaganza 2019 mengakui dia lebih bergantung kepada kebolehan rakan hosnya, Sherry Alhadad.

"Saya akui gementar mengacarakan program ini, saya pun tiada pengalaman dalam bidang pengacaraan, saya lebih menguasai bidang nyanyian.

"Tidak dinafikan saya bergantung kepada kebolehan rakan hos, Sherry yang semestinya lebih menyerlah berbanding saya.

"Namun begitu, saya yakin boleh lakukan dengan lebih baik pada minggu-minggu akan datang, banyak perkara yang boleh saya pelajari selepas ini," jelas Hady.

Hady mengatakan demikian ketika ditemui di sidang media yang diadakan selepas konsert pertama peraduan tarian dan nyanyian, Dansa Dan Sing di Auditorium Majlis Bandaraya Shah Alam (MBSA), Selangor pada Ahad.

Bercakap tentang pelbagai pendapat dan kritikan netizen terhadap kebolehannya untuk mengacara, Hady mengatakan dia tidak mahu menghiraukan perkara tersebut, menurut Astro Gempak.

"Saya tak kisah dengan kritikan netizen, saya buat yang terbaik pun orang kecam, apa yang penting, saya anggap ini satu rezeki.

"Saya pun tidak mahu terlalu serius dalam bidang pengacaraan kerana ia bukanlah bidang saya yang sebenar," tambahnya.

Musim pertama Dansa Dan Sing menyaksikan persaingan antara sepuluh peserta iaitu Arja, Atilia Haron & Yasmin Hani, Chubb-E, Nik Qistina, Raja Syahiran, Shiha Zikir, Sophia Liana, Wani Kayrie, WARIS dan Harris Baba.

Setiap peserta utama diiringi oleh skuad masing-masing ketika membuat persembahan.

Guru tari terkenal, Linda Jasmine dan ikon fesyen negara, Rizalman diberi kepercayaan sebagai juri tetap dalam musim pertama ini.

Juara satu lagi pertandingan realiti, Big Stage 2019, Han Byul diundang sebagai juri jemputan dan digandingkan bersama Linda dan Rizalman bagi minggu pertama pertandingan tersebut.

Juara Dansa Dan Sing akan membawa pulang wang tunai sebanyak RM100,000 (S$32,000) beserta trofi sumbangan Astro, manakala pemenang tempat kedua dan ketiga pula akan memenangi RM50,000 (S$16,000) dan RM25,000 (S$8,000) beserta trofi.

Pemenang tempat keempat dan kelima juga tidak akan pulang dengan tangan kosong kerana masing-masing bakal membawa pulang RM10,000 (S$3,200) dan RM5,000 (S$1,600) beserta trofi.

Sumber : Agensi berita/HA/ha
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Iklan

Lebih banyak artikel Berita

Iklan