Skip to main content

Iklan

Iklan

Hiburan

Hady Mirza kembali ke pentas besar sertai peraduan nyanyian Gegar Vaganza

Pemenang Singapore Idol 2 dan Asian Idol 2007 Hady Mirza, bakal bertanding dalam peraduan nyanyian Gegar Vaganza musim keenam (GV6).

Anggaran Waktu Membaca:
Hady Mirza kembali ke pentas besar sertai peraduan nyanyian Gegar Vaganza

Hady Mirza (Gambar: Facebook/Dadah itu Haram)

Diterbitkan : 25 Sep 2019 02:28PM Dikemas Kini : 25 Sep 2019 02:43PM

MALAYSIA: Pemenang Singapore Idol 2 dan Asian Idol 2007 Hady Mirza, bakal bertanding dalam peraduan nyanyian Gegar Vaganza musim keenam (GV6).

Nama beliau serta para peserta lain didedahkan dalam satu sidang media di Kuala Lumpur pada Selasa (24 Sep).

Ini dipercayai kemunculan pertama Hady dalam persembahan di pentas besar setelah lama tidak muncul di persada hiburan tempatan.

Antara acara yang sedikit sebanyak dapat mengubati rindu para peminat terhadap artis itu adalah konsert Gemilang Raya pada Jun lalu dan semasa beliau bergabung dengan lebih 10 artis lain bagi konsert Dadah itu Haram di Kampung Admiralty, yang dihadiri sekitar 4,000 penonton.

Selain persembahan di pentas, Hady juga menyumbangkan vokalnya bagi lagu "Gerimis Mengundang" yang dipopularkan kumpulan Slam, dalam filem pendek terbitan agensi air kebangsaan PUB dan Persatuan Rakyat (PA) sempena Hari Raya tahun ini, yang tular di media sosial.

Para peminat Hady kini boleh menonton kembali penyanyi itu di pentas kompetitif apabila GV6 membuka tirainya 13 Oktober ini.

Menurut Sinar Harian, Hady bakal berentap dalam rancangan realiti hiburan itu dengan Wann, Jatt Ali, Nurfatima, Mazleela, Noorshila Amin, Feeza, Roy, Sham Visa, Naqiu Boboy dan Ameer Sofazr.

One Nation Emcees dan Kool pula bakal bertanding dalam kategori berkumpulan atau duo.

WANN AKHIRI TANDA TANYA

Penampilan Wann, atau nama sebenarnya Wan Rashidah Meor Abdul Rashid dalam GV6 mengakhiri pertanyaan para peminat tentang sama ada beliau akan menyertai peraduan itu.

Baru minggu lalu BERITAmediacorp melaporkan, penyanyi kelahiran Teluk Intan, Perak itu sudah tiga kali menolak lamaran pihak Astro untuk bertanding.

Wann ketika itu bagaimanapun menekankan, ia tidak bermakna beliau sudah menutup pintu kepada GV, hanya sekadar ingin memastikan dirinya benar-benar bersedia jika menyahut cabaran itu kelak.

“Ia ada macam-macam genre lagu. Saya kena bersedia betul-betul kalau saya nak masuk GV. Ada hip-hop, ada etnik lah. Boleh ke Wann bawak semua genre lagu itu? Wann memang boleh menyanyi tapi sesuai ke dan boleh ke Wann bawak?” kongsi beliau dalam wawancara bersama BERITAmediacorp.

Wann, Hady dan para peserta lain GV6 akan beradu suara dalam lapan episod rancangan tersebut sebelum juara terbaru Gegar Vaganza dinobatkan.

Sumber : Agensi berita/BERITAmediacorp/TQ/tq
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Iklan

Lebih banyak artikel Berita

Iklan