Images
  • guns n' roses denmark
    Vokalis Guns N' Roses Axl Rose (kiri), di atas pentas bersama Slash di Copenhagen, Denmark, pada 27 Jun 2017. (Gambar: Mads Joakim Rimer Rasmussen/Scanpix Denmark/AFP)

Guns N’ Roses lancar lagu baru 'Hard Skool'

AMERIKA SYARIKAT: Gabungan semula kumpulan 'rock' terkenal Guns N' Roses bersama pemain gitar utama Slash dan pemain bes Duff McKagan menghasilkan satu lagi lagu baru khas buat peminat berjudul 'Hard Skool'.

Lagu itu dikeluarkan pada Jumaat (24 Sep) selepas kugiran itu menampilkan satu lagi karya, 'Absurd', iaitu olahan semula lagu dari awal 2000-an dengan judul asal 'Silkworms' yang tidak diterbitkan, menurut laman Loudwire.

Seperti Absurd, Hard Skool diolah daripada bahan-bahan yang dihasilkan semasa penulisan album Chinese Democracy namun tidak disertakan dalam senarai lagu terakhir apabila album itu diterbitkan pada 2008.

Peminat tegar kumpulan itu pasti cam sebahagian lagu itu daripada versi-versi yang dibocorkan di internet lebih sedekad lalu sebelum penerbitan album Democracy itu, namun ia kini diberi nafas baru setelah Slash dan McKagan kembali bergabung pada 2016.

Petikan rakaman kumpulan itu berlatih lagu Hard Skool dimuat naik sebelum ini menerusi akaun TikTok Slash, mencetuskan perbualan dalam kalangan peminat yang menanti-nantikan lagu baru daripada GnR.


Loudwire melaporkan, setakat ini belum jelas ke manakah arah kumpulan itu dari segi bahan muzik baru dan sama ada penerbitan baru-baru ini membayangkan satu album baru dalam masa terdekat.

Guns N' Roses, kumpulan muzik terkenal asal Amerika Syarikat, ditubuhkan pada 1985, dan banyak melalui pasang surut sepanjang perjalanannya hampir empat dekad.

Pada Februari 2017, kumpulan itu mengadakan persembahan di Singapura sebagai sebahagian konsert jelajah Not In This Lifetime.

LAPORAN BERKAITAN:

- Agensi berita/TQ/tq

Top