Skip to main content

Iklan

Iklan

Hiburan

Gjie tinggalkan 6ixth Sense

 Pemain gitar, Gjie kini tidak lagi bersama kugiran 6ixth Sense sejak awal tahun ini selepas lebih 15 tahun berjuang bersama.

Anggaran Waktu Membaca:
Gjie tinggalkan 6ixth Sense

Gjie. (Gambar: Instagram/Gjie)

Diterbitkan : 17 Feb 2021 12:03AM Dikemas Kini : 17 Feb 2021 12:06AM

KUALA LUMPUR: Pemain gitar, Gjie kini tidak lagi bersama kugiran 6ixth Sense sejak awal tahun ini selepas lebih 15 tahun berjuang bersama.

Gjie berkata, ia disebabkan mereka tidak sehaluan menerusi projek terbaru 6ixth Sense, lapor BH Online.

"Sebenarnya, saya tidak mahu membesarkan perkara ini. Ia disebabkan kami tidak bergaduh mahupun bermusuhan. Hubungan saya bersama empat lagi anggota 6ixth Sense masih baik.

"Cuma, saya mengundurkan diri disebabkan rasa kami tidak sehaluan dalam projek terbaru 6ixth Sense.

"Saya sudah lama merasakan perbezaan hala tuju, tetapi saya masih sayangkan 6ixth Sense, jadi saya berkompromi. Awalnya, saya ikut sahaja apa yang mereka mahu buat, seperti projek album 7belas," katanya kepada BH Online.

Gjie atau nama sebenarnya, Mohd Faiz Azizi Arlis berkata, banyak benda yang dilakukan tidak memenuhi seleranya.

"Jadi, saya merasakan apa yang diperjuangkan bersama 6ixth Sense bukan lagi diri saya.

"Apabila saya merasakan apa yang dilakukan tidak ikhlas, lebih baik saya tarik diri supaya tidak menyusahkan anggota lain. Disebabkan itu, saya tidak akan menyertai projek 6ixth Sense yang seterusnya," katanya.

Selain Gjie, kugiran yang popular dengan lagu Khatimah Cinta itu turut dianggotai Adi selaku vokalis, Wan (dram), Atan (gitar) dan Ayoy (gitar), menurut BH Online.

Gjie berkata, dia sudah memaklumkan keputusan untuk mengundurkan diri awal bulan lalu menerusi aplikasi Whatsapp, tetapi hingga hari ini, mereka masih belum sempat berbincang.

"Selepas saya menghantar mesej, kami belum lagi bercakap mengenai hal ini. Tetapi, Wan ada menyatakan, posisi saya dalam 6ixth Sense masih terbuka. Kiranya, saya boleh kembali pada bila-bila masa saya mahu.

"Setakat ini, 6ixth Sense kekal berempat. Saya terbuka sekiranya pada masa hadapan mereka perlukan saya untuk projek seterusnya. Cuma, saya tidak mahu terbabit dalam projek terbaru yang sedang mereka usahakan," katanya.

Awal dari itu, Gjie membuat pengakuan menerusi entri video melalui laman sosial, Instagram.

Dalam pada itu, Gjie tidak menafikan video perkongsian dibuat sebagai salah satu faktor untuk menarik orang ramai menonton saluran YouTube miliknya yang baru diusahakan.

"Saya nampak perkara ini boleh menarik orang ramai dengan menonton video YouTube saya. Bagi saya, ia tidak salah.

"Dalam masa sama, saya mahu aktif dalam saluran YouTube saya sendiri. Saya mahu berkongsi mengenai pengalaman selama lebih 15 tahun dalam bidang muzik.

"Jadi, ini adalah video pertama untuk saluran YouTube ini. Sebenarnya, perkara ini saya sudah lama disarankan kepada 6ixth Sense untuk melakukannya bersama. Rasanya mungkin empat hingga lima tahun lalu, tetapi mereka tidak mahu, jadi saya hormati dan teruskan sendiri," katanya.

Ekoran itu, Gjie juga mengubah nama dalam laman IG dan tidak menggunakan nama 6ixth Sense. Ini kerana tidak mahu dibayangi oleh kugiran berkenaan.

"Saya tidak lagi menggunakan nama Gjie 6ixth Sense dalam laman sosial. Saya mahu mencipta jenama saya sendiri. Insya-Allah, sekarang saya fokus pada pembikinan video dalam YouTube dan kerja balik tabir," katanya yang juga salah seorang anggota kugiran Akim & The Majistret.

Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Iklan

Lebih banyak artikel Berita

Iklan