Skip to main content

Iklan

Iklan

Hiburan

George Clooney gesa hotel milik Sultan Brunei diboikot

Bintang Hollywood George Clooney menggesa agar rangkaian hotel Dorchester Collection termasuk The Beverly Hills Hotel dan Hotel Bel-Air di California diboikot, sambil mendakwa bahawa pemiliknya bersikap diskriminasi terhadap masyarakat LGBT.

Anggaran Waktu Membaca:
George Clooney gesa hotel milik Sultan Brunei diboikot

(Gambar: Rich Fury/Getty Images/AFP)

Diterbitkan : 30 Mar 2019 01:17PM Dikemas Kini : 30 Mar 2019 01:23PM

CALIFORNIA: Bintang Hollywood George Clooney menggesa agar rangkaian hotel Dorchester Collection termasuk The Beverly Hills Hotel dan Hotel Bel-Air di California diboikot, sambil mendakwa bahawa pemiliknya bersikap diskriminasi terhadap masyarakat LGBT.

Dalam ulasannya di laman berita Deadline pada Khamis (28 Mac), Clooney berkata tindakan memboikot itu menyusuli laporan mengenai undang-undang baru Brunei - iaitu hukuman rejam sampai mati terhadap pesalah yang terbabit dalam kegiatan homoseksual.

Dalam ruangannya, pelakon itu lantang menyuarakan pendapatnya mengenai Sultan Hassanal Bolkiah, yang juga ketua agensi pelaburan negara itu, yang memiliki hotel dan resort Dorchester Collection.

"Sultan Brunei adalah seorang lelaki terkaya dunia. Dia memiliki Agensi Pelaburan Brunei dan mereka pula mempunyai beberapa hotel cantik.

"Mereka memiliki sembilan hotel paling eksklusif di dunia. Saya pernah menginap di hotelnya sebelum ini tanpa mengetahui siapa pemiliknya," katanya.

Menurut Clooney, beberapa tahun lalu, dua buah hotel di Los Angeles, The Bel-Air dan The Beverly Hills Hotel diboikot masyarakat LGBT.

"Hotel mereka bagus. Para kakitangan hotel itu semunya baik dan tidak kena mengena dalam pemilikan hotel ini.

"Tetapi biar semuanya jelas, setiap kali kita menginap atau menjamu selera di mana-mana hotel tersebut, kita seperti memilih untuk meletakkan wang secara langsung ke kocek individu yang memilih untuk melaksanakan hukuman rejam sampai mati terhadap pesalah zina dan seks homoseksual di negaranya," jelasnya.

Memberi respons kepada ulasan Clooney, pengarah komunikasi Beverly Hills Hotel, Brittany Williams, berkongsi satu kenyataan dengan laman berita USA TODAY bagi pihak Dorchester Collection.

Menurut kenyataan itu, "Kod Dorchester Collection (menekankan) kesamaan, rasa hormat dan integriti dalam semua bidang operasi kami, serta menghargai kepelbagaian budaya dalam kalangan tetamu dan pekerja kami.

"Sifat inklusif dan kepelbagaian kekal menjadi kepercayaan utama dan kami tidak menerima sama sekali apa-apa bentuk diskriminasi." 

Sumber : CNA/AI/ai
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Iklan

Lebih banyak artikel Berita

Iklan