Skip to main content

Iklan

Iklan

Hiburan

Gelaran Datuk Farid Kamil, Boy Iman ditarik balik

Anugerah Darjah Kebesaran Negeri Pahang yang membawa gelaran Datuk kepada dua pelakon dan penerbit, Farid Kamil serta Boy Iman adalah antara yang ditarik balik dan dibatalkan.

Anggaran Waktu Membaca:
Gelaran Datuk Farid Kamil, Boy Iman ditarik balik

Farid Kamil (kiri), Boy Iman (kanan). (Gambar: faridkamilz/Instagram/Dato Boy Iman Dato Boy Iman Dato Boy Iman/Facebook)

Diterbitkan : 11 Feb 2021 09:35AM Dikemas Kini : 11 Feb 2021 09:43AM

KUANTAN: Anugerah Darjah Kebesaran Negeri Pahang yang membawa gelaran Datuk kepada dua pelakon dan penerbit, Farid Kamil serta Boy Iman adalah antara yang ditarik balik dan dibatalkan.

Ini menurut Setiausaha Kerajaan Negeri Pahang Dr Sallehuddin Ishak. 

Dr Sallehuddin yang juga pendaftar darjah kebesaran negeri berkata perintah tersebut dibuat atas perintah Sultan Pahang Al-Sultan Abdullah Ri'ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah dan surat penarikan balik pengurniaan darjah kebesaran terhadap mereka berkuat kuasa 1 Februari lalu. 

Farid Kamil atau nama sebenarnya Farid Kamil Zahari dan Boy Iman atau Noruliman A. Rahman serta tiga lagi individu yang dinamakan merupakan penerima Darjah Indera Mahkota Pahang (DIMP) yang membawa gelaran Datuk sebelum ini. 

"Penama tidak dibenarkan memakai sebarang gelaran yang dikurniakan dan perlu mengembalikan Darjah Kebesaran yang dikurniakan kepada Pejabat Setiausaha Kerajaan Pahang selaras dengan Undang-Undang Darjah-Darjah Kebesaran dan Bintang-Bintang Negeri Pahang," kata Dr Sallehuddin menerusi kenyataan semalam (10 Feb).

Tiada alasan penarikan gelaran itu diberikan, namun difahamkan semua individu terlibat pernah didakwa di mahkamah atas pelbagai kesalahan seperti jenayah, menipu dan rasuah. 

Sementara itu, Farid Kamil menerusi laman Instagramnya berkata beliau berlapang dada dengan penarikan balik gelaran Datuk itu.

"Saya amat berbangga dan berbesar membawa gelaran Datuk yang dikurniakan oleh Istana Pahang sejak 16 Disember 2017. Saya menjunjung kasih atas penganugerahan tertinggi dalam hidup saya dan menerimanya dengan penuh kerendahan diri, ketika itu.

"Hari ini, saya juga dengan penuh rasa hormat menerima keputusan Istana Pahang menarik balik gelaran DIMP yang membawa gelaran Datuk kepada saya," kongsinya di laman Instagram semalam.

Suami kepada pelakon Diana Danielle itu bagaimanapun menutup ruangan komen bagi catatan tersebut.

Menerusi catatan yang sama, beliau sempat memaklumkan bahawa beliau sedang dalam proses memasarkan filem Remp-it 2 yang "akan menemui penonton dalam tahun ini juga".

Turut dibatalkan gelaran Datuk adalah dua ahli perniagaan Malaysia iaitu Wong Shee Kai @ Ricky dan Syed Mohammad Faiz Syed Azemman serta ahli perniagaan wanita warga Vietnam, Tran Thi Mai@Maimunah. 

Surat penarikan terhadap Wong dan Tran Thi Mai juga berkuat kuasa pada 1 Februari lalu, manakala surat Syed Mohammad Faiz berkuat kuasa 12 November 2020. 

Sumber : Bernama/agensi berita/NK/nk
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Iklan

Lebih banyak artikel Berita

Iklan