Skip to main content

Iklan

Iklan

Hiburan

Gegar Vaganza kembali dalam musim ke-8; 13 bintang 3 negara serumpun berentap suara

Program realiti paling dinanti-nantikan, Gegar Vaganza musim kelapan (GV8), terbitan Astro kembali lagi.

Anggaran Waktu Membaca:
Gegar Vaganza kembali dalam musim ke-8; 13 bintang 3 negara serumpun berentap suara

Gegar Vaganza ke-8 akan disiarkan secara langsung di Astro Ria mulai 21 November, pada setiap hari Ahad, jam 9.00 malam. (Gambar: Gegar Vaganza Musim Ke-8/Instragram)

Diterbitkan : 11 Nov 2021 11:41AM Dikemas Kini : 11 Nov 2021 11:48AM

KUALA LUMPUR: Program realiti paling dinanti-nantikan, Gegar Vaganza musim kelapan (GV8), terbitan Astro kembali lagi.

Menariknya kali ini, lapor AstroAWANI, bintang GV8 juga mewakili tiga negara serumpun iaitu Malaysia, Singapura dan Indonesia yang pernah menempa nama di persada seni hiburan suatu ketika dahulu.

Kemampuan 13 bintang utama yang bakal menjadi pertaruhan edisi kali ini terdiri daripada enam penyanyi solo lelaki, lima penyanyi solo wanita dan dua penyertaan secara duo atau berkumpulan.

Enam bintang solo lelaki yang akan memberi saingan sengit untuk musim ini ialah Aweera, Azan Scan, Fazley Yaakob, Shidee, Bandi Amuk dan penyanyi kelahiran Singapura, Aliff Aziz.

Sementara itu, senarai penyanyi solo wanita yang menyahut cabaran untuk berentap dalam GV8 ialah Adibah Noor, Ani Maiyuni, Suki, Nikki dan Upiak Isil (Indonesia).

Musim ini juga turut meriah dengan kehadiran pelawak terkenal, Saiful Apek dan Yassin serta Nico yang mewakili penyertaan secara duo dan berkumpulan.

Guru vokal terkenal, Syafinaz Selamat sah sertai Ramli MS dan bintang legenda Indonesia, Hetty Koes Endang, sebagai juri tetap sekali gus menyaksikan buat kali pertamanya penampilan tiga juri tetap.

Nabil Ahmad dan Jihan Muse juga kekal sebagai hos utama musim terbaru itu nanti, lapor AstroAWANI.

Naib Presiden Strategi Pembangunan Kandungan Hiburan Melayu Astro, Raqim Ahmad, akui keampuhan populariti dan kredibiliti jenama ‘GV’ kini semakin matang.

“Mengimbas kembali perjalanan program ini sewaktu mula diperkenalkan sekitar tahun 2014, matlamat utama kami ialah untuk menyediakan platform penjenamaan semula bagi para penghibur berpengalaman yang pernah merasai era kegemilangan suatu ketika dahulu sekali gus membuka lembaran baru dalam kembara seni mereka.

“Inisiatif yang dirintis telah berkembang dan terbukti berjaya meletakkan ‘GV’ sebagai pencetus fenomena sosial yang mempunyai kekuatan dan impak tersendiri untuk mempengaruhi kecenderungan peminat saban tahun.

“Persaingan 13 bintang dari tiga negara serumpun merupakan antara tarikan utama ‘GV8’ pada kali ini.

“Selain itu, kami turut melantik tiga juri tetap yang memiliki reputasi luar biasa dan cukup disegani dalam kalangan penggiat seni berbanding hanya dua orang sahaja sebelum ini.

“Ketiga-tiga mereka akan turut ditemani oleh seorang juri jemputan pada setiap minggu menjadikan proses penjurian musim ini akan lebih sukar dan mencabar,” jelasnya seperti ditukil AstroAWANI.

Gegar Vaganza akan disiarkan secara langsung di Astro Ria pada setiap hari Ahad, jam 9.00 malam mulai 21 November ini. 

Sumber : Agensi berita/FZ/fz
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Iklan

Lebih banyak artikel Berita

Iklan