Skip to main content

Iklan

Iklan

Hiburan

Gara-gara mirip PM Kanada, peserta pertandingan realiti Afghanistan ini jadi terkenal

Seorang peserta pertandingan realiti Afghanistan yang memiliki wajah mirip Perdana Menteri Kanada Justin Trudeau menyaksikan kehidupannya berubah bak seorang selebriti, di negaranya itu.

Anggaran Waktu Membaca:
Gara-gara mirip PM Kanada, peserta pertandingan realiti Afghanistan ini jadi terkenal

Gambar Justin Trudeau dan Abdul Salam Maftoon yang diletakkan bersebelahan menarik perhatian orang ramai di Facebook. (Gambar: AFP / WAKIL KOHSAR, LUDOVIC MARIN)

Diterbitkan : 15 Jan 2019 08:02PM Dikemas Kini : 15 Jan 2019 08:15PM

KABUL, Afghanistan: Seorang peserta pertandingan realiti Afghanistan yang memiliki wajah mirip Perdana Menteri Kanada Justin Trudeau menyaksikan kehidupannya berubah bak seorang selebriti, di negaranya itu.

Malah, perhatian yang diterimanya juga mungkin dapat memberinya kelebihan memenangi pertandingan berkenaan.

Abdul Salam Maftoon, seorang penyanyi di majlis-majlis perkahwinan dari sebuah kampung di kawasan pedalaman Badakhshan. Beliau bahkan tidak pernah mendengar tentang 'kembar'nya itu sehinggalah diberitahu seorang juri dalam pertandingan tersebut akan persamaan mereka seakan 'pelanduk dua serupa'.

Berbadan agak sasa, memiliki wajah bujur serta rambut dan mata berwarna coklat gelap, Abdul Salam, 29, berharap persamaan dengan ahli politik yang dikenali sebagai salah seorang pemimpin paling seksi di dunia, akan memberi beliau lebih banyak undian dalam 'American Idol' versi Afghanistan itu.

"Orang ramai sudah lupa nama saya dan sekarang mereka hanya memanggil saya 'Justin Trudeau'," kata Abdul Salam kepada AFP, sambil menguntumkan senyuman yang turut mendedahkan dua gigi emas di depan.

"Saya tidak tahu-menahu tentang Justin Trudeau sehinggalah saya nampak gambar-gambarnya di media sosial. Persamaan itu sudah meningkatkan peluang saya sebanyak 50 peratus untuk menang.

Malah gambar mereka yang diletakkan bersebelahan satu sama lain juga menarik perhatian orang ramai di Facebook.

Video panel juri yang membincangkan persamaan kedua-dua mereka juga sudah ditonton berpuluh ribu kali.

(Gambar: AFP / WAKIL KOHSAR)

"Kembar Trudeau yang sudah lama hilang," tulis Neila Abdulzadah di laman Facebook.

Fowzia Zereh pula menulis: " Saya rasa kisah mereka seperti filem Bollywood - mereka terpisah selepas dilahirkan dan beliau menjumpai kembarnya yang hilang."

Abdul Salam antara lapan peserta yang layak ke pusingan kelayakan selanjutnya pada Khamis (17 Jan).

Peringkat akhir pertandingan akan berlangsung pada 21 Mac, iaitu sehari sebelum Tahun Baru Iran.

Meskipun Abdul Salam tidak mungkin ke Kanada dalam masa terdekat, pemuda ini masih menaruh harapan bertemu 'kembarnya' dari Kanada itu.

"Saya mahu berjumpa dengannya jika beliau sudi kerana beliau personaliti global manakala saya hanya lelaki miskin dari kawasan pedalaman Afghanistan. Kita lihat bagaimana," katanya.

Sumber : AFP/IM/im
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Iklan

Lebih banyak artikel Berita

Iklan