Skip to main content

Iklan

Iklan

Hiburan

Gadis dari Indonesia dengan suara memukau gegarkan The Voice Jerman

Sudah menjadi kebiasaan bahawa para peserta bersuara lunak lagi merdu mahu dijadikan anak didik para penyanyi profesional dalam rancangan realiti The Voice.

Anggaran Waktu Membaca:
Gadis dari Indonesia dengan suara memukau gegarkan The Voice Jerman

Claudia Emmanuela Santoso memukau pentas antarabangsa The Voice Jerman. (Gambar: Petikan skrin dari YouTube)

Diterbitkan : 16 Sep 2019 08:35PM Dikemas Kini : 16 Sep 2019 09:00PM

MERDEKA: Sudah menjadi kebiasaan bahawa para peserta bersuara lunak lagi merdu mahu dijadikan anak didik para penyanyi profesional dalam rancangan realiti The Voice.

Itulah juga kesan yang berjaya dijana seorang gadis 18 tahun asal Jawa Barat, Indonesia, apabila suaranya memukau pentas antarabangsa The Voice Jerman.

Membawakan lagu 'Never Enough' dari filem 'The Greatest Showman', Claudia Emmanuela Santoso melontarkan suaranya dengan lantang sehingga mendapat perhatian luar biasa daripada keempat-empat jurulatih nyanyian, yang menekan butang 'I Want You' (Saya Mahukan Anda').

Nada-nada tinggi yang dilontarkan Claudia dengan yakin dan sempurna juga mendorong tepukan berdiri daripada keempat-empat jurulatih untuk Claudia, yang fasih berbahasa Jerman.

Malah, persembahannya penuh emosi dan begitu mencuri hati sehingga beliau diminta menyanyi lagu nyanyian asal Loren Allred itu sekali lagi dan membuat juri Alice Merton berlinangan air mata!

Jika penyanyi Anggun mencipta nama di Perancis, mungkin Claudia berpotensi mencipta nama sebagai penyanyi Indonesia paling terkenal di Jerman, jika bakatnya terus diasah di negara Eropah itu.

MULA MENYANYI SEJAK USIA 4 TAHUN

Yang pasti, nyanyian hebat yang dipersembahkan Claudia tidak diraih semalaman. Suara emas Claudia itu sebenarnya dibentuk sejak usianya empat tahun lagi.

Ibu Claudia, Christin Gunawan berkongsi: "Beliau memiliki bakat menyanyi itu sejak kecil lagi. Jadi pada umur empat tahun, saya masukkan (Claudia) ke sekolah muzik. Pada awalnya dianggap terlalu kecil, tapi setelah dimasukkan, kelihatan (Claudia) mempunyai bakat, jadi diteruskan."

Kejayaan Claudia melayakkan diri ke pentas The Voice Jerman juga tidak mudah. Beliau harus bersaing dengan ribuan peserta lain dari pelbagai bandar di Jerman.

MENETAP DI MUNICH SEJAK SETAHUN LALU

Claudia yang mengikuti uji bakat di bandar Munich, sebenarnya mula menetap di bandar tersebut sejak setahun lalu dan berstatus pelajar di salah sebuah institut pengajian tinggi di Jerman.

Cik Christin menambah: "Saya bangga, saya terharu dengan anak saya kerana dia menjadi anak yang baik dan juga mengisi waktunya dengan hal bermanfaat."

(Gambar-gambar: Petikan skrin dari video YouTube)

Claudia akhirnya memilih satu-satunya penyanyi wanita Alice Merton sebagai jurulatih nyanyian yang akan membimbingnya sepanjang pertandingan tersebut.

Para penyanyi profesional selaku jurulatih nyanyian bagi The Voice Jerman musim ke-9 terdiri daripada Rea Garvey, Mark Forster, Sido dan Alice Merton. 

Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Iklan

Lebih banyak artikel Berita

Iklan