Skip to main content

Iklan

Iklan

Hiburan

'Forensik' drama pertama Suria diadaptasikan dari siri Saluran 5, Code Of Law

Buat julung-julung kalinya di Suria, satu siri drama terbarunya diadaptasikan dari drama popular Code Of Law, yang disiarkan di Saluran 5.

Anggaran Waktu Membaca:

SINGAPURA: Buat julung-julung kalinya di Suria, satu siri drama terbarunya diadaptasikan dari drama popular Code Of Law, yang disiarkan di Saluran 5.

Siri berjudul Forensik itu menampilkan kes-kes jenayah sebenar yang sering berlaku di negara ini dan barisan pelakon cukup hebat termasuk pelakon berkaliber dari seberang tambak, Wan Hanafi Su.

HADIAH BUAT PENONTON MELAYU, CODE OF LAW

Drama bersiri lapan episod itu adalah kesinambungan daripada siri drama jenayah popular Code Of Law yang sudah disiarkan selama empat musim.

(Gambar: Marcus Goh)

(Gambar: Marcus Goh)

Namun, Forensik lebih mengisahkan tentang keluarga Pakar Kanan Siasatan Jenayah, Juliana Hamid (lakonan Yuslina Yussof), yang juga merupakan teman wanita watak Inspektor Razali, (aktor Fauzie Laily) dalam Code Of Law.

Selain menyelesaikan kes-kes jenayah yang ditugaskan, beliau juga menyimpang dari agenda tersebut untuk membongkar misteri di sebalik kematian ayahnya sendiri.

Para peminat Code Of Law sudah tentu dapat ‘melepaskan rindu’ mereka kerana beberapa watak kegemaran dari siri tersebut seperti Superintendan Audrey Soh (Sharon Ismail) dan Staf Sarjan Kanan Miki Lee (Michelle Wong) serta Inspektor Razali sendiri akan turut membuat penampilan dalam Forensik.

Menurut pengarahnya, Encik Lee Thean-jeen, Forensik boleh disifatkan sebagai hadiah bagi peminat Melayu.

"Kami faham dari Code of Law, ada penonton Melayu yang suka siri itu. Jadi kami rasa perlu memberikan penonton Melayu kami sebuah drama khas untuk mereka.

"Forensik bukan saja genre thriller. Ia adalah cerita kemanusiaan, ia ada aspek realiti kerana jenayah yang kita tampilkan dalam siri ini adalah asalnya dari kes yang sebenar," kata Encik Lee.

TONTON DI DUA WADAH UNTUK CARI JAWAPAN

Penonton juga diajak ‘ikut sekaki’ menghuraikan kes-kes jenayah menerusi satu siri ‘webisode’ yang ditayangkan secara ekslusif di wadah Toggle.

Berkongsi tentang siri ‘webisode’ tersebut, Encik Lee mengulas "Ceritanya mengenai lelaki 'stalker' yang selalu mengekori watak utama kita iaitu Juliana. Identitinya tidak akan dikongsi di webisode ini. Kita akan paparkan identiti di siri Forensik yang ditayangkan di Suria.”

WAN HANAFI SU PILIH FORENSIK KERANA...

Meskipun telah berkecimpung dalam industri seni selama lebih 40 tahun dan menjayakan lebih 100 filem dan drama, Forensik merupakan pelibatan sulung pelakon hebat Wan Hanafi Su bersama Singapura.

(Gambar: BERITAmediacorp/Syawal Yusoff)

(Gambar: BERITAmediacorp/Syawal Yusoff)

Dalam Forensik, beliau memegang watak Kamal Othman, bapa tiri kepada watak Juliana dan juga seorang bekas pegawai polis yang hidupnya diselubungi rahsia.

Jalan cerita serta skrip yang hebat membuatnya cukup tertarik untuk menerima tawaran berlakon di sini.

“Drama ini bukan sepenuhnya aksi, ia bukan thriller sangat. Tapi ada elemen-elemen di mana ia bermain dengan seseorang yang harus mencari kebenaran, apa itu kebenaran, apa itu holistik, apa itu realistik dalam hidup.

Ada satu dialog Kamal “Ayah dah nak gila dah. Simpan benda ini berdekad lamanya. Mungkin ini saja cara untuk ayah dapat ketenangan hidup,” imbas Wan Hanafi Su yang lebih mesra digelar 'ayah' semasa di set penggambaran.

'DIPINANG' TIGA KALI OLEH FAIZAL ISHAK

Drama terbitan bersama Weiyu Films itu turut diarahkan pengarah asal Singapura yang juga banyak menghasilkan karya di Malaysia, Encik Faizal Ishak.

Walaupun sudah tiga kali Wan Hanafi Su ditawarkan untuk bekerjasama dengan Encik Faizal, akhirnya mereka bertemu ‘jodoh’ jua menerusi Forensik.

"Di Malaysia, sudah tiga kali saya terlepas pasal masalah jadual yang bertentangan. Apabila saya tahu Faizal Ishak, sebelum saya datang ini, saya gembira sangat. Itulah dia jodoh. Rupanya bertemu di Singapura," luah Wan Hanafi Su.

NAFAS BARU DALAM DRAMA SURIA

Semestinya, Forensik menjanjikan adegan-adegan yang cukup hebat dan penuh suspens.

Oleh itu, pelakon utamanya, pendatang baru Yuslina Yussof sendiri banyak menghabiskan masa beliau membuat kajian bagi menjiwai watak yang dikehendaki.

(Gambar: BERITAmediacorp/Syawal Yusoff)

(Gambar: BERITAmediacorp/Syawal Yusoff)

Beliau menambah, drama itu turut memberikan nafas baru dalam genre drama yang dipaparkan di Suria.

“Selalunya rancangan di Suria adalah berunsurkan keceriaan atau komedi. Tetapi kali ini, Forensik berunsurkan jenayah. Penonton harus menonton Forensik sebab mereka dapat melihat Yuslina mengendalikan jenayah di dalam set,” kata Yuslina yang sebelum ini pernah menjayakan drama siri Gunting bersama Taufik Batisah.

Bagi pelakon veteran, Hamidah Salim yang memegang watak ibu kepada Juliana, rentak drama yang seakan-akan siri 'Jejak Jenayah' itu antara tarikan buat orang ramai.

"Drama ini, seperti Jejak Jenayah begitu. Tetapi, ini kita buatkan drama lapan episod jadi lebih banyak lagi kita boleh tonton atau adegan yang suspens," kata Hamidah.

Forensik akan ditayangkan setiap hari Khamis mulai 2 Jan, jam 9.30 malam di Suria.

Anda turut boleh menyaksikannya menerusi wadah Toggle. 

Sumber : BERITA Mediacorp/tq
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Iklan

Lebih banyak artikel Berita

Iklan