Images
  • ahmad idham finas
    Ketua Pegawai Eksekutif Finas, Dr Ahmad Idham Ahmad Nadzri. (Gambar: BERNAMA)

FINAS ingatkan syarikat penerbitan patuhi SOP COVID-19

KUALA LUMPUR: Semua syarikat penerbitan drama, iklan dan dokumentari yang layak membuat penggambaran luar studio di negeri berstatus Fasa Dua Pelan Pemulihan Negara (PPN) diingatkan supaya mematuhi garis panduan dan prosedur operasi standard (SOP) yang ditetapkan oleh kerajaan Malaysia.

Ketua Pegawai Eksekutif Perbadanan Kemajuan Filem Nasional Malaysia (FINAS) Ahmad Idham Ahmad Nadzri berkata syarikat penerbitan mestilah melaksanakan penggambaran luar yang terasing, terhad dan terkawal mengikut Protokol Gelembung Penggambaran (PREP) di negeri Fasa Dua PPN.

Beliau berkata maklumat lanjut berkaitan garis panduan termasuk borang permohonan Surat Perakuan Penggambaran Filem Khas (SPP Khas) boleh didapatkan melalui laman sesawang FINAS mulai Rabu (21 Jul).

"Untuk tatacara permohonan dan soalan-soalan lazim berkaitan aktiviti penggambaran filem dengan syarat yang diperketatkan pada Fasa Dua PPN ini, boleh melayari www.finas.my atau hubungi talian 03-41041300/1458/1360 (Bahagian Pelesenan dan Penguatkuasaan) dan e-mel ke sppkhas@finas.my," katanya dalam kenyataan semalam.

Ahmad Idham berkata kelonggaran itu dalam usaha bersepadu kerajaan melalui Kementerian Komunikasi dan Multimedia (KKMM) dan FINAS untuk memperkasakan aspek pengurusan, keselamatan, kesihatan dan pencegahan dalam aktiviti penggambaran bagi mengawal risiko jangkitan COVID-19.

Katanya lagi, FINAS turut merakamkan ucapan penghargaan kepada Menteri Komunikasi dan Multimedia Saifuddin Abdullah yang mendukung pelbagai strategi dan inisiatif termasuklah dasar baru aktiviti penggambaran secara lebih sistematik, terkawal dan diperketatkan dalam tempoh pelaksanaan PPN.

Pada 19 Julai lalu, kerajaan meluluskan aktiviti penggambaran di luar studio dengan pematuhan SOP ketat pada Fasa Dua PPN.

- BERNAMA/TQ/tq

Top