Images
  • gempak
    (Gambar: Astro Gempak)

Finalis GV2019 Nurfatima ucap terima kasih atas doa peminat susuli kebakaran besar di Australia

MALAYSIA: Bekas finalis Gegar Vaganza 2019 (GV 2019) Nurfatima mengatakan bahawa beliau berada dalam keadaan baik dan sihat walaupun cuaca sedikit berjerebu di Canberra, Australia.

Seperti dilapor Astro Gempak, Nurfatima mengatakan bahawa cuaca juga bertambah baik pada Isnin (6 Jan) kerana hujan pada hari sebelumnya.

“Saya di sini baik-baik sahaja. Cuaca pun agak baik berbanding hari-hari sebelumnya kerana hujan semalam (Ahad).

“Alhamdulillah kesihatan saya dan keluarga di sini juga tidak terjejas. Saya harap hari esok dan seterusnya keadaan bertambah baik,” katanya seperti ditukil Astro Gempak.

Menurut penyanyi Selembut Sutera yang sudah berada di Canberra sejak empat hari lalu itu, tidak banyak yang berbeza sejak kebakaran berlaku, selain suhu agak panas.

“Bagi saya macam biasa sahaja cuma cuaca agak panas berbanding kebiasaan. Terima kasih kepada yang menghantar pesanan dan mendoakan saya di sini,” katanya.

Nurfatima kembali ke Canberra sejak empat hari lalu selepas tamat GV 2019.

Australia bakal berdepan gelombang haba Sabtu depan (11 Jan), ekoran kebakaran hutan yang berlaku di negara tersebut.

Setakat ini sahaja, sekitar 5 juta hektar (12.35 juta ekar) kawasan disahkan terbakar manakala sekurang-kurangnya 17 orang maut dan lebih daripada 1,400 rumah musnah.

Kira-kira 480 juta haiwan dianggarkan terkorban akibat kebakaran yang makin marak di hampir seluruh Australia sejak hujung Ogos lalu.

- Agensi berita/HA/ha

Top