Images
  • geran
    (Gambar: Bernama)

Filem teroka seni persilatan "Geran" menang anugerah Festival Filem Asia di New York

KUALA LUMPUR: Filem aksi persilatan, “Geran” terbitan Layar Pictures dan Tree of Hopes Productions dinobatkan sebagai penerima Anugerah Daniel A.Craft di Festival Filem Asia New York (NYAFF) Ke-19 di atas kecemerlangannya dalam filem aksi.

EasternKicks.com yang juga media rasmi NYAFF melaporkan kemenangan itu meletakkan pengarah filem Geran, Areel Abu Bakar setaraf dengan nama-nama seperti Dante Lam (Operation Red Sea), Yue Song (The Bodyguard) dan Jung Byung-gil (The Villaines) yang memenangi anugerah kecemerlangan filem aksi itu sebelumi ini.

Filem yang mengangkat seni persilatan Gayong Pusaka dengan tema kekeluargaan dan persaudaraan itu antara lain menampilkan Namron, Khoharullah Majid, Feina Tajuddin, Fad Anuar, Azlan Komeng (koreografer aksi silat) dan Megat Shahrizal sebagai pelakon.

Areel ketika dihubungi Bernama, menyifatkan anugerah itu sebagai penghargaan besar kepada kru produksi dan peminat filem Geran yang mengangkat seni silat dan budaya masyarakat Malaysia ke layar perak di mata dunia.

“Kami tidak pernah menyangka untuk menerima penghargaan sebesar ini daripada pihak luar. Ini anugerah pertama diterima filem Geran, ini juga filem pertama saya,” katanya bahawa pihak penganjur NYAFF telah memaklumkan kemenangan filem Geran itu kepada beliau, pada Isnin (17 Ogos).

Ditayangkan di pawagam pada 10 Okt 2019 di Malaysia dan Brunei, filem Geran yang dilaporkan menggunakan bajet sendiri, mengisahkan tentang satu keluarga pesilat yang mempertahankan maruah dan tanah rumah mereka daripada tergadai selepas adik mereka menghilangkan diri dan menggadai geran tanah itu kepada lintah darat.

Filem aksi yang disifatkan sebagai naskhah kerdil oleh Areel itu berbeza daripada filem aksi lain kerana menampilkan pesilat sebenar sebagai pelakon utama dengan sebahagian besar aksi lagak ngeri dilakukan sendiri barisan pelakonnya.

NYAFF, yang akan bersiaran dalam talian melalui aplikasi Smart Cinema dari 28 Ogos hingga 12 Sep 2020, adalah festival filem berprestij di Amerika Syarikat yang mengangkat pembangunan seni dan budaya melalui jaringan sinema dunia.

Ia juga menjadi platform tayangan dan penghayatan filem melalui pemilihan naskhah filem kontemporari dan klasik dari negara-negara Asia.

- BERNAMA/NA/na

Top