Images
  • seniwati (1)
    Seniwati-seniwati Jalan Ampas. (Gambar: BERITAmediacorp/Nurulkhasanah Agost)

Filem P. Ramlee ‘hidup’ semula di layar perak; seniwati Jalan Ampas serikan tayangan di PLQ Mall

SINGAPURA: Filem-filem Allahyarham P. Ramlee “tak mati”.

Itulah yang disuarakan oleh seniwati Zaiton semasa ditemui di tayangan perdana filem Ibu Mertuaku di pawagan Shaw yang terbaru di pusat beli belah PLQ Mall pada 16 Oktober.

Seniwati yang pernah berlakon dalam filem seperti Bujang Lapok, Anakku Sazali dan Ibu Mertuaku itu antara tujuh pelakon veteran wanita yang hadir menyerikan tayangan perdana tersebut.

Memang benar bagai dikata beliau, filem Allahyarham P. Ramlee ‘hidup’ semula di layar perak menerusi filem Ibu Mertuaku.

Gaya manja si Sabariah, bebelan Nyonya Mansoor dan rintihan hati Kassim Selamat menerusi lagu-lagunya semuanya dilihat dan didengar dari sudut lebih besar dan lebih gah.

Pengalaman yang sama juga akan dapat anda rasakan, mulai 26 Oktober ini, apabila sehingga 10 karya Allahyarham P. Ramlee ditayangkan satu persatu pada setiap Sabtu terakhir, setiap bulan.


FILEM BERI GAMBARAN ERA 50AN, 60AN

“Filem P. Ramlee memang tak matilah. Dari dulu pun sampai sekarang masih ditayangkan. Anak-anak muda sekarang boleh lihat filem lama-lama dulu. Jadi dia tahu bagaimana cara filem lama-lama dengan filem sekarang,” kata Zaiton, yang mesra menggelarkan dirinya sebagai ‘auntie Zaiton’ memberitahu BERITAmediacorp.

Sememangnya itulah juga matlamat Shaw. Ia berharap usaha ini dapat membangkitkan semula penghargaan kepada filem-filem hitam putih karya Allahyarham P. Ramlee dari segenap lapisan masyarakat.

“Kami ingin memperkenalkan pada generasi muda aspek-aspek keseniannya. Filem ini juga dapat memberikan sedikit sebanyak gambaran kehidupan masyarakat pada waktu 50-an dan 60-an dahulu. Mungkin juga itu zaman ibu bapa mereka dulu.

“Untuk generasi yang lebih berusia dan peminat setia filem P. Ramlee dapat mengimbau kembali zaman muda mereka. Bagi yang bukan Melayu telah disari kata. Ini juga peluang terbaik bagi anak-anak bersama ibu bapa, suami isteri dan rakan-rakan bersantai,” ujar Eksekutif Jabatan Filem-Filem Melayu di Shaw Organisation Cik Rosie Othman.

Lagi enam seniwati yang hadir adalah Hashimah Yon, Sri Rahayu S. Sudarmaji, K Fatimah, Habibah Harun, Dato’ Rosani Jamil dan Dayang Sofia.


Dari kanan: Hashimah Yon, Sri Rahayu, Rosnani Jamil, Dayang Sofia, K Fatimah, Habibah Harun dan Zaiton.

Bagi pelakon yang cukup dikenali ramai menerusi dialog lucunya “20 sen!”, pelakon veteran Sri Rahayu S. Sudarmaji, ini adalah peluang terbaik untuk anak-anak muda mempelajari bagaimana filem-filem sentuhan Allahyarham P. Ramlee boleh kekal malar segar.

“Memang sangat baik. Inisiatif yang baik. Dari sinilah budak-budak dapat belajar dan mengingati dan dia boleh contohi macam mana jadi sesuatu yang dia buat itu 'evergreen' sampai bertahun-tahun. Sampai 60 lebih orang masih suka lagi menonton filem ini kan. Tak jemu-jemu,” kata beliau.

“Tontonlah filem-filem Melayu lama. Jadi daripada filem kita dulu boleh dapat dipelajari macam mana cara kita berlakon, kita berdialog, daripada situ boleh dapat tahu,” tambah pelakon veteran Hashimah Yon.

AURA BINTANG FILEM CUKUP MENYERLAH

Berdasarkan sambutan terhadap kehadiran seniwati-seniwati Jalan Ampas di acara itu, aura bintang filem era P.Ramlee nampaknya masih cukup menyerlah.

Sebagai penghargaan kepada sumbangan mereka dalam industri perfileman, pihak Shaw menghadiahkan sejambak bunga kepada kesemua tujuh seniwati yang hadir.

Senyuman dan ucapan terima kasih tidak lekang dari bibir mereka kepada hadirin tatkala bertentang mata. Barangkali tersentuh hati mereka melihat sokongan yang masih tidak putus daripada para peminat.


Bagi yang datang menonton tayangan perdana itu, ia merupakan satu pengalaman berbeza yang mengingatkan mereka bahawa satu ketika dahulu dunia perfileman Melayu di sini boleh dianggap sebagai ‘mini Hollywood’.

“Generasi muda kita ini dapat mempelajari bagaimana keadaan kita waktu itu dan kalau dari segi teknik perfileman mungkin kita tidak setanding sekarang tetapi dengan apa kita ada, membangkitkan satu keyakinan bahawa 'wah! filem kita begini',” kata penyanyi dan pembimbing vocal, Eddy Ali.

“Kalau kita tengok di rumah, di TV suasananya berbeza. Beza sekali. Saya hari ini telah menonton, saya mendapati banyak perkara-perkara yang kita boleh pelajari walaupun produk-produk atau perfileman ini telah dilakukan pada zaman-zaman 60-an,” tambah Pengurus Besar Life Records, Osman Ariffin.


SUDAH BOLEH BELI TIKET TONTON P. RAMLEE DI PAWAGAM

Penyanyi, Rudy Djoharnaen pula tertarik dengan gaya bahasa dan lagu yang semuanya mainkan peranan penting serta kerjasama antara seniman, seniwati dan orang-orang belakang tabir yang sama-sama mengangkat filem-filem seniman agung P. Ramlee.

“Saya sebagai orang muda dapat mempelajari dari segi gaya bahasa yang digunakan dalam filem tersebut, bagaimana filem itu dapat menyuntik ataupun menambat emosi kita dan sanubari kita seperti filem-filem macam Ibu Mertuaku dan sebagainya. Ia sangat menarik emosi dan juga jalan ceritanya tidak bosan. Jadi sampai sekarang kita ingati,” Encik Rudy memberitahu BERITAmediacorp.

Orang ramai boleh membeli tiket-tiket untuk menikmati filem Anakku Sazali, Madu Tiga, Penarek Beca, Masam-Masam Manis, Ibu Mertuaku, Labu Labi, Anak Bapak, Nujum Pak Belalang, Rachun Dunia dan Antara Dua Darjat.

Tiket-tiket dijual pada harga S$10 setiap satu dan maklumat lanjut boleh diperolehi di laman Shaw.

- BERITAmediacorp/nk

Top