Skip to main content

Iklan

Iklan

Hiburan

Filem Malaysia boleh maju jika...

Bekas penasihat Perbadanan Kemajuan Filem Nasional (Finas), Dr Ahmad Ibrahim mencadangkan agensi kerajaan itu menyediakan latihan praktikal dalam bidang teras pembuatan filem kepada graduan seni.

Anggaran Waktu Membaca:
Filem Malaysia boleh maju jika...

(Gambar-gambar: Facebook, Instagram)

Diterbitkan : 03 Sep 2018 07:01PM Dikemas Kini : 03 Sep 2018 07:10PM

MALAYSIA: Bekas penasihat Perbadanan Kemajuan Filem Nasional (Finas), Dr Ahmad Ibrahim mencadangkan agensi kerajaan itu menyediakan latihan praktikal dalam bidang teras pembuatan filem kepada graduan seni.

Beliau yang lebih dikenali dengan nama Mat London berkata, banyak bakat baru yang berpotensi dibazirkan apabila mereka tiada hala tuju, manakala peluang kerja terbatas selepas menamatkan kursus di institut pengajian tinggi, lapor Malaysiakini.

Katanya, Finas wajar mengutamakan bakat-bakat baru kerana mereka merupakan aset yang akan menerajui negara dan memberi sumbangan dalam industri perfileman tanah air.

Justeru menurut Mat London kepada Malaysiakini, Finas perlu memainkan peranan untuk mendedahkan karyawan muda kepada pengalaman pembikinan filem dengan menyerapkan mereka sebagai tenaga kerja dalam produksi tempatan.

“Bagaimana hendak memaju dan memandu graduan jika tiada satu pun misi masa depan serta tiada matlamat? Kalau macam ni dua atau tiga tahun lagi matilah Finas.

“Kita ada misalnya 600 produksi, ambil graduan ini dan beri mereka ruang selama beberapa bulan dengan produksi tempatan kerana ramai yang sukar untuk mencari sendiri peluang.

“Bagi sesiapa yang ingin membuka syarikat dan mengusahakan bidang perfileman pula, mereka perlu kita bantu,” katanya ketika dihubungi Malaysiakini.

Mat London kini berkhidmat sebagai pensyarah di Fakulti Filem, Teater dan Animasi Universiti Teknologi Mara (UiTM) kampus Puncak Perdana di Shah Alam, Selangor.

Beliau pernah belajar di London serta menetap selama 10 tahun di sana, selain biasa menerbitkan iklan-iklan komersial dan layanan masyarakat televisyen dan dokumentari.

Mat London turut menyarankan Finas menubuhkan bank skrip bagi membolehkan produksi tempatan dihasilkan dengan jalan cerita, skrip, watak dan dialog.

Menurutnya bank skrip itu jika menjadi kenyataan juga dapat membuka jalan kepada lebih banyak filem terbitan tempatan dieksport ke luar negara.

“Ini perlu supaya orang tidak mencari atau cuba membuat skrip dengan begitu mudah.

"Seringkali karya kita dihasilkan tanpa ada visi, wajah atau acuan Malaysia. Kalau nak buat, biarlah supaya orang luar berminat nak tengok.

“Hasil usaha ini, kita akan mempunyai banyak simpanan skrip dalam tabung,” katanya.

Antara kaedah Finas boleh memperbanyakkan idea-idea atau jalan cerita segar dan berkualiti kata Mat London, ialah dengan mengadakan peraduan menghasilkan skrip terbaik.

“Gunakan khidmat mereka yang pakar dalam penulisan untuk mengadili pertandingan itu agar tidak lah mendapat skrip yang merapu-rapu.

“Kemudian, untuk sesiapa berminat untuk menerbitkan filem, boleh pitch (saringan) skrip atau membelinya.

"Finas juga boleh memainkan peranan untuk memberi bantuan dana dalam membangunkan kajian skrip itu tadi,” katanya.

Menurut Mat London walaupun bank skrip pernah dicadangkan kira-kira 15 tahun lalu, usaha berkenaan terhenti kira-kira tujuh tahun kemudian.

“Kita ada ramai penulis skrip tetapi mereka tidak diberi garis panduan mengenai apa yang kita nak, justeru skrip dihasilkan pada ketika itu tidak dikategorikan mengikut genre dan medium.

“Bank skrip yang ada juga tidak digunakan untuk membuat apa-apa penggambaran, simpan saja... nak ke mana?” katanya.

Sumber : Agensi berita/AW/aq
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Iklan

Lebih banyak artikel Berita

Iklan