Images
  • mak
    Petikan gambar daripada filem komedi "Trace Mak Together".

Filem komedi "Trace Mak Together" ajak rakyat S'pura sokong hasil makanan tempatan

BERITAmediacorp: Sebuah filem pendek bercorak komedi berjudul "Trace Mak Together" dilancarkan oleh Kementerian Kemampanan dan Sekitaran (MSE) pada Khamis (22 Apr).

Tayangan singkat sekitar empat minit itu mengisahkan tiga adik-beradik perempuan yang mengintip ibu mereka ketika beliau sedang membeli barangan dapur.

"Trace Mak Together" bertujuan untuk mendapatkan sokongan bagi hasil makanan tempatan dengan menunjukkan para penonton di mana mereka boleh membeli hasil makanan tempatan dan cara-cara mengenal pastinya.

Ia juga bagi melengkapkan pelancaran logo produk tempatan baru tahun lalu oleh Agensi Makanan Singapura (SFA) - Logo SG Fresh Produce yang membantu pengguna mengenal pasti hasil tempatan dengan mudah dan boleh didapati pada bungkusan dan bahan-bahan pemasaran terpilih.

Menurut Pengarah Perhubungan dan Kerjasama 3P, Cik Selina Lim, salah satu daripada matlamat di bawah Pelan Hijau Singapura 2030 adalah untuk memenuhi 30 peratus daripada keperluan pemakanan tempatan dengan makanan yang dihasilkan dalam negeri menjelang 2030.

"Bagi mencapai matlamat ini, Kementerian Kemampanan dan Sekitaran dan Agensi Makanan Singapura telah mengambil langkah untuk memanfaatkan ruang dan infrastruktur bagi pertanian dan akuakultur, membangunkan bekalan pekerja berkemahiran bagi sektor agromakanan, menggalak kajian dan pengembangan (R&D) dan meningkatkan sokongan dana bagi mendukung industri agromakanan dengan memanfaatkan teknologi yang produktif, tahan cuaca dan berkesan dan cekap dari segi penggunaan sumber," menurut Cik Selina.

“Trace Mak Together” menampilkan pelakon veteran dan pelawak Zaliha Hamid, pelakon televisyen dan filem Nadiah M.Din dan pelawak Farah Lola.

Turut menjayakan filem tersebut adalah pelakon veteran Mahadi dan pelakon Haslinna Ja’aman. Mereka berlima memainkan watak keluarga yang unik dengan peralatan risikan, penyamaran dan kemahiran akrobatik.

Filem itu adalah hasil kerjasama antara MSE dengan syarikat penerbitan OHBOY! Pictures.

Ia boleh ditonton di platform media sosial Kementerian Kemampanan dan Sekitaran (MSE).

Filem pendek itu adalah tambahan terkini bagi perpustakaan kandungan yang dihasilkan oleh MSE untuk meningkatkan kesedaran rakyat Singapura terhadap perubahan iklim. 

- BERITAmediacorp/na

Top