Skip to main content

Iklan

Iklan

Hiburan

Filem 18 Puasa Di Kampong Pisang kaut lebih RM1 juta

Filem 18 Puasa Di Kampong Pisang arahan sutradara tersohor, Mamat Khalid meraih kutipan lebih RM1 juta (S$0.3 juta) dalam tempoh tiga hari sejak ditayangkan di platform Astro First, Khamis lalu.

Anggaran Waktu Membaca:
Filem 18 Puasa Di Kampong Pisang kaut lebih RM1 juta

(Gambar: Astro First/Instagram)

Diterbitkan : 18 Apr 2021 06:31PM Dikemas Kini : 18 Apr 2021 06:36PM

KUALA LUMPUR: Filem 18 Puasa Di Kampong Pisang arahan sutradara tersohor, Mamat Khalid meraih kutipan lebih RM1 juta (S$0.3 juta) dalam tempoh tiga hari sejak ditayangkan di platform Astro First, Khamis lalu.

Watak Barkoba lakonan Bell Ngasri juga tular melalui 'meme' dalam media sosial pada Ramadan berikutan karakternya yang tidak berpuasa dan sinonim dengan 'beg hitam', lapor BH Online.

Filem 18 Puasa Di Kampong Pisang adalah gabungan dua karya 'masterpiece' Mamat iaitu Kampong Pisang dan 16 & 17 Puasa.

Mamat yang teruja dengan kejayaan filemnya itu berharap 18 Puasa Di Kampong Pisang akan memberi pengajaran kepada penonton, menurut BH Online.

"Alhamdulillah, filem ini mendapat sambutan memberangsangkan daripada penonton.

"Saya berharap filem ini bukan sahaja mampu memberi hiburan semata-mata, tetapi juga pengajaran.

"Ini termasuk memberi peringatan kepada kita terhadap kesan baik dan buruk daripada kelakuan sendiri. Terima kasih kerana terus menghargai karya saya," katanya.

Mamat berkata, keputusannya untuk menggabungkan dua karya terbabit timbul selepas filem dihasilkan mendapat sambutan baik.

"Cuma versi filem kali ini membawa pendekatan berbeza. Sudah tentu elemen hiburan masih ada, cuma terpulang kepada penonton bagaimana mahu menilai dan menerima filem ini.

"Apa yang boleh saya katakan, jalan cerita dan babak yang dipersembahkan mudah untuk penonton faham. Apa yang dipaparkan memang berlaku di sekeliling kita atau memang terjadi kepada diri sendiri.

"Sebagai manusia, mungkin kadang-kadang kita alpa dengan tanggungjawab sebagai seorang muslim. Diharap karya ini dapat mengajak penonton melakukan refleksi diri lebih-lebih lagi dalam bulan mulia ini," katanya.

Sementara itu, Naib Presiden, Ketua Astro Shaw & Nusantara, Raja Jastina Raja Arshad yakin ramai peminat menantikan kehadiran filem berkenaan, lapor BH Online.

"Apabila watak Barkoba tular, ini membuktikan karakter terbabit sangat kuat dan sinonim dengan penonton pada bulan Ramadan.

"Dalam media sosial juga menyaksikan rata-rata penonton dan pengkritik filem bebas berkongsi maklum balas positif mengenai filem ini.

"Kami berharap kejayaan ini akan menjadi permulaan yang baik untuk filem 18 Puasa Di Kampong Pisang terus mendapat sokongan daripada penonton," katanya.

18 Puasa Di Kampong Pisang mengisahkan sekumpulan penduduk Kampong Pisang yang masih melakukan kemungkaran pada bulan Ramadan.

Ketika Barkoba menikmati makanan di siang hari dalam semak samun, tiba-tiba berlaku satu insiden. Dia didatangi iblis dan membawa Barkoba kembali ke masa silam untuk mengimbau setiap tindak-tanduk kesalahan yang dilakukan sepanjang hidupnya.

Antaranya, Barkoba mengabaikan zakat, menganiaya orang lain, mengajak melakukan kemungkaran serta menyebabkan kecederaan dan kematian Kiambang.

Selain Bell Ngasri, filem ini turut dibintangi Siti Elizad, Joey Daud, Man Raja Lawak, Jaafar Onn, Aziz M Osman dan ramai lagi.

Sumber : Agensi berita/NA/na
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Iklan

Lebih banyak artikel Berita

Iklan