Skip to main content

Iklan

Iklan

Hiburan

Festival Jazz Iskandar Puteri himpunkan 70 pemuzik dari 5 negara termasuk S'pura

Festival Jazz Iskandar Puteri 2019 kembali lagi tahun ini dengan menjanjikan dua peringkat persembahan jazz percubaan dan klasik untuk menghiburkan orang ramai pada 27 Julai ini.

Anggaran Waktu Membaca:
Festival Jazz Iskandar Puteri himpunkan 70 pemuzik dari 5 negara termasuk S'pura

(Gambar: Iskandar Puteri Jazz Festival/Facebook)

Diterbitkan : 19 Jul 2019 05:15PM Dikemas Kini : 19 Jul 2019 05:16PM

ISKANDAR PUTERI: Festival Jazz Iskandar Puteri 2019 kembali lagi tahun ini dengan menjanjikan dua peringkat persembahan jazz percubaan dan klasik untuk menghiburkan orang ramai pada 27 Julai ini.

Dibawakan oleh pemaju induk perbandaran UEM Sunrise Berhad (“UEM Sunrise”), Festival Iskandar Puteri Jazz edisi ketiga tersebut akan menampilkan sembilan kumpulan jazz yang terdiri daripada 70 pemuzik dari Malaysia, Indonesia, Singapura, United Kingdom dan Amerika Syarikat untuk menghiburkan penonton di sekitar ‘Puteri Harbour’.

Diperkenalkan pada tahun 2017, Festival Jazz Iskandar Puteri berkembang pesat dan menjadi tarikan serantau untuk penggemar muzik kerana penekanannya terhadap kecemerlangan muzik dan kepelbagaian.

Bagaimanapun, pengalaman festival percuma itu lebih daripada sekadar muzik kerana orang ramai juga dapat menikmati angin marina dari pelabuhan yang indah. Pengunjung juga boleh menikmati pelbagai jenis makanan dan minuman serta membeli pakaian, barangan seni serta aksesori yang unik sepanjang festival berlangsung.

Festival tersebut sudahpun menjadi salah satu acara kebudayaan dan kemasyarakatan yang paling penting di Johor di mana penduduk dan pengunjung berpeluang untuk menikmati persembahan dari barisan artis tempatan malah juga antarabangsa.

Antara persembahan yang bakal disajikan termasuk daripada para pemain gitar jazz terkenal seperti Alex Hutchings dari United Kingdom. Beliau yang pernah membuat persembahan dengan Michael Jackson di Tour Thriller. Pada penghujung tahun 2017, beliau menyertai ‘live-band’ Steven Wilson - yang merangkul anugerah Grammy sebanyak empat kali - dan mengikuti kembara persembahan mereka untuk menyokong album Wilson's To the Bone.

Satu lagi nama termuka dalam arena muzik jazz Asia ialah vokalis Singapura, Alemay Fernandez. Beliau seorang pemuzik jazz veteran yang pernah mengadakan persembahan dengan para lagenda jazz seperti Wynton Marsalis The Jazz di Lincoln Center Orchestra, The Count Basie Orchestra, Duke Ellington Orchestra, David Foster dan Incognito.

Artis tempatan yang juga akan menyertai Iskandar Puteri Jazz Festival itu nanti adalah Noryn Aziz dan penyanyi serta penulis lirik terbaru, Bil Musa, yang sejak tahun lalu berada di bawah naungan Yuna Room Records.

UEM Sunrise sudahpun menganjurkan kegiatan ‘placemaking’ sepanjang tahun sejak 2016 di Puteri Harbour dan kawasan sekitarnya untuk meningkatkan gaya hidup bandar berkenaan.

Dengan barisan artis tempatan dan antarabangsa yang mengagumkan itu, Festival Jazz Iskandar Puteri 2019 dijangka akan menarik lebih 6,000 pengunjung tahun ini. 

Sumber : Bernama/FZ/fz
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Iklan

Lebih banyak artikel Berita

Iklan