Images
  • fasha sandha
    (Gambar: Fasha Sandha/Instagram)

Fasha Sandha hamil, syukur hajat suami termakbul

KUALA LUMPUR: Pelakon Fasha Sanda sempat merakamkan kejutan istimewa buat suami beliau, Aidil Aziz, untuk memaklumkan tentang berita kehamilannya yang berusia tiga minggu.

Kejutan itu, lapor Astro Awani, dirakam sewaktu Fasha sedang menjalani sesi penggambaran di Shah Alam dan ia turut dikongsi sendiri oleh Aidil di akaun laman sosialnya.

Dalam video tersebut, Aidil kelihatan tidak dapat menahan rasa terharu sehingga beliau menangis kegembiraan sejurus sahaja menerima khabar berita paling dinantikan itu.

Menerusi kiriman mesej WhatsApp kepada seorang teman wartawan yang rapat dengan Fasha, pelakon filem Anak Mami dan Nana Tanjung itu, lapor Astro Awani, berkongsi bagaimana beliau mula merasa tidak sedap badan sejak pagi Selasa (21 Mei).

"Sebelum pergi fotografi, girl test, Alhamdulillah positif. Cuma, girl tak mau komen banyak sangat tentang kehamilan ini kerana baru masuk awal trimester pertama. Apa pun girl bersyukur kerana hajat Aidil untuk cepat dapat anak termakbul," kata Fasha yang membahasakan dirinya sebagai 'girl' dalam mesej pesanan ringkas itu.

Fasha dan Aidil mendirikan rumahtangga pada 30 Mac lalu.

Hasil daripada perkahwinan pertamanya dahulu, Fasha dikurniakan dua anak iaitu Putra Rayfal Ramli dan Putri Raysha Jemaima.

- Agensi berita/FZ/fz

Top