Farm Fresh anjur konsert di ladang lembu
Syarikat Farm Fresh, yang juga lebih dikenali sebagai penaja program Gegar Vaganza 6 (GV6) memberi penghargaan kepada 600 peniaga dari rumah syarikat tersebut dengan menganjurkan Konsert 'Picnic In The Farm' di Ladang 16, Universiti Putra Malaysia (UPM), pada Sabtu (28 Dis).
SERDANG: Syarikat Farm Fresh, yang juga lebih dikenali sebagai penaja program Gegar Vaganza 6 (GV6) memberi penghargaan kepada 600 peniaga dari rumah syarikat tersebut dengan menganjurkan Konsert 'Picnic In The Farm' di Ladang 16, Universiti Putra Malaysia (UPM), pada Sabtu (28 Dis).
Diadakan di kawasan seluas 190 ekar itu, konsert berkenaan diwarnai dengan pelbagai kegiatan yang menyeronokkan, termasuk persembahan oleh juara bersama GV6 Hady Mirza dan Naqiu Boboy.
(Gambar: Azmi Zainal/Facebook)
Dalam nukilan Astro Awani, Ketua Pegawai Operasi Farm Fresh, Azmi Zainal berkata kelainan yang dipaparkan dari segi pemilihan lokasi dan idea mencerminkan imej syarikat pengeluar susu segar terkemuka di Malaysia itu.
"Ini pertama kali di Malaysia konsert 'in the farm' dianjurkan.
"Ia merupakan lanjutan daripada konsert Gegar Vaganza tetapi yang ini kita tujukan kepada pasukan Farm Fresh. Semua yang dijemput adalah pasukan Farm Fresh dan tetamu-tetamu kita,” katanya kepada Astro Awani.
Malah, sejak Farm Fresh menjadi penaja sebilangan program hiburan di seberang, produk-produknya menerima permintaan memberangsangkan daripada para pelanggan.
“Ada dua perubahan yang saya nampak, pertamanya produk kita tidak cukup dan habis di pasaraya.
“Kedua, kesan kepada ekonomi pengedar-pengedar saya yang hadir pada hari ini. Pendapatan mereka meningkat dan itulah konsep yang saya bawakan, kongsi rezeki dan peluang,” ujarnya.
Menurut Astro Awani, Encik Azmi yang juga Ketua Pegawai Eksekutif Farm Fresh dalam pada itu memaklumkan ladang moden di UPM, Serdang bakal dibuka kepada orang ramai mulai Februari 2020.
Di samping susu segar, produk tenusu Farm Fresh juga boleh didapatkan dalam bentuk minuman yogurt.
(Gambar: Azmi Zainal/Facebook)
Selain Hady dan Naqiu, konsert yang bakal disiarkan pada 15 Januari ini turut dimeriahkan oleh enam peserta lain termasuk Jatt dan Nurfatima.
LAPORAN BERKAITAN:
'Bos Susu' sedia jadi penaja Gegar Vaganza musim akan datang
Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini
Langgani buletin emel kami
Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.