Skip to main content

Iklan

Iklan

Hiburan

Farid Kamil mengaku tidak bersalah reka keterangan palsu

Selepas didakwa atas lima tuduhan termasuk didapati positif dadah dan mendatangkan kecederaan, pelakon terkenal Datuk Farid Kamil sekali lagi dihadapkan di Mahkamah Majistret hari ini (9 Mac).

Anggaran Waktu Membaca:
Farid Kamil mengaku tidak bersalah reka keterangan palsu

Gambar: ASWADI ALIAS/Berita Harian Online

Diterbitkan : 09 Mar 2018 03:12PM Dikemas Kini : 09 Mar 2018 03:15PM

PETALING JAYA: Selepas didakwa atas lima tuduhan termasuk didapati positif dadah dan mendatangkan kecederaan, pelakon terkenal Datuk Farid Kamil sekali lagi dihadapkan di Mahkamah Majistret hari ini (9 Mac).

Kali ini, atas tuduhan mereka keterangan palsu dan tidak benar selepas mendakwa bahawa dia dianiaya tiga rakan artis yang meletakkan dadah ke dalam minumannya.

Farid Kamil Zahari, 37, bagaimanapun mengaku tidak bersalah selepas tuduhan ke atasnya itu dibacakan di hadapan Majistret Salamiah Salleh.

Dia didakwa mereka keterangan palsu dalam satu laporan polis dengan memasukkan maklumat tidak benar. Laporan tersebut boleh digunakan dalam prosiding jenayah dan diambil sebagai pertimbangan oleh pegawai polis yang menerimanya.

Pelakon filem J Revolusi itu dituduh melakukan kesalahan berkenaan di Balai Polis Taman Tun Dr Ismail, Damansara pada 5.54 petang, 31 Jan lalu mengikut Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara maksimum tiga tahun dan denda jika sabit kesalahan.

Timbalan Pendakwa Raya Mary Phoon Keat Mee menawarkan jaminan RM6,000 (S$2020) dengan seorang penjamin.

Bagaimanapun, Farid Kamil yang diwakili peguam Faizul Mohd Nasir memohon jaminan rendah atas alasan pelakon itu menanggung isteri, anak-anak serta ibu bapa yang sudah tua serta menghidapi pelbagai penyakit yang memerlukan rawatan.

"Saya juga mohon mahkamah mengambil kira faktor tawaran berlakon, mengarah dan lain-lain yang semakin merudum ekoran beberapa pertuduhan yang dihadapinya.

"Turut terjejas adalah kontrak-kontrak daripada syarikat pengiklanan yang sebelum ini ditawarkan kepada anak guam saya berkemungkinan akan ditamatkan kerana kontroversi ini," kata peguam itu.

Mahkamah membenarkan tertuduh diikat jamin RM2,500 (S$842) dengan seorang penjamin dan menetapkan 7 Mei untuk sebutan semula kes.

Turut hadir bersama Farid Kamil yang tiba di pekarangan mahkamah pada pukul 10.00 pagi adalah adik lelakinya Fadzil Bahari Zahari yang juga suami kepada pelakon Yana Samsudin.

Semalam (8 Mac), Bernama melaporkan bahawa polis menyatakan Farid Kamil membuat laporan polis mendakwa dirinya dianiaya tiga rakan artis yang dikatakan mencemarkan minumannya dengan dadah sehingga mendorongnya berkelakuan ganas.

Pada 16 Jan lalu, suami kepada pelakon popular Diana Danielle itu mengaku tidak bersalah atas empat tuduhan iaitu dua tuduhan mendatangkan cedera, menggunakan kekerasan jenayah dan berkelakuan tidak senonoh dengan mengeluarkan perkataan kurang sopan di Balai Polis Trafik Kota Damansara.

Pada 25 Jan pula, Farid Kamil mengaku tidak bersalah memasukkan dadah jenis THC (11-nor -tetra hydrocannabinol-9-carboxylic acid) ke dalam badannya. 

Sumber : Bernama/SM/sm
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Iklan

Lebih banyak artikel Berita

Iklan