Skip to main content

Iklan

Iklan

Hiburan

Farid agresif dan menjerit-jerit pada polis, kata saksi

Seorang anggota polis memberitahu Mahkamah Majistret di Petaling Jaya, Malaysia pada Khamis (13 Dis) bahawa pelakon dan pengarah Farid Kamil Zahari menjerit-jerit di balai polis dan berkata "adakah hang tau aku sapa? Aku Datuk Farid Kamil!"

Anggaran Waktu Membaca:
Farid agresif dan menjerit-jerit pada polis, kata saksi

Pelakon Malaysia, Farid Kamil. (Gambar: Farid Kamil/Instagram)

Diterbitkan : 14 Dec 2018 12:04AM Dikemas Kini : 14 Dec 2018 12:07AM

PETALING JAYA: Seorang anggota polis memberitahu Mahkamah Majistret di Petaling Jaya, Malaysia pada Khamis (13 Dis) bahawa pelakon dan pengarah Farid Kamil Zahari menjerit-jerit di balai polis dan berkata "adakah hang tau aku sapa? Aku Datuk Farid Kamil!"

Konstabel Muhammad Nizam Jamaluddin, yang ketika kejadian sedang bertugas sementara di Balai Polis Kota Damansara, berkata Farid mengeluarkan kata-kata itu sambil berdiri selepas beliau (Farid) dengan tiba-tiba naik angin setelah Encik Muhammad Nizam memberitahunya bahawa beliau (Farid) tidak boleh membuat aduan polis berhubung satu artikel kerana balai itu mengendalikan kes trafik.

Menceritakan kejadian berkenaan, saksi kedua pendakwaan itu berkata pada pukul 1.00 tengah hari 11 Januari lalu, Farid dibawa oleh saksi pertama kes itu, Ashraf Ahmad, yang memberitahu Farid ingin membuat aduan polis mengenai satu kemalangan.

"Sejurus tiba di kaunter pertanyaan, Farid telah menunjukkan kepada saya sebuah artikel bertajuk '300 artis meminjam Ah Long kerana tiada pekerjaan' dan bertanya kepada saya sama ada artikel itu benar.

"Saya kemudian berkata sekiranya dia mahu membuat laporan mengenai kes itu, dia harus pergi ke balai lain yang berdekatan kerana balai ini hanya mengendalikan kes-kes trafik," katanya semasa pemeriksaan utama oleh Timbalan Pendakwa Raya, Alia Sumayyah Amran, pada hari ketiga perbicaraan empat kes jenayah pelakon itu.

Saksi itu memberitahu bahawa Farid kemudian tiba-tiba naik angin dan terus berdiri serta menjerit-jerit mengeluarkan kata-kata itu.

"Ashraf cuba menenangkan Farid yang masih dalam keadaan terjerit-jerit di dalam balai, namun Ashraf telah ditampar dan saya dengan pantas cuba menghalang tindakan itu dengan berkata "Datuk tidak boleh buat begini, Datuk tak boleh pukul orang awam" sebelum saya juga ditampar olehnya.

"Selain pedih dan sakit di pipi kiri akibat ditampar, namun yang lebih memalukan kerana saya sedang memakai pakaian seragam polis trafik dan kejadian tersebut berlaku di hadapan orang ramai di dalam balai tersebut," katanya.

Menurut Encik Muhammad Nizam lagi, keadaan Farid yang agresif ketika itu memaksanya untuk menggari tertuduh. Bagaimanapun, fizikal Farid yang besar dan lebih tinggi daripadanya menyukarkan beliau untuk berbuat demikian.

"Beberapa kali saya mencuba untuk menggarinya namun tidak berjaya tetapi setelah dibantu Ashraf dan seorang lagi orang awam yang berada di dalam balai, Farid akhirnya digari dalam keadaan meniarap," katanya.

Pada 16 Januari lalu, Farid mengaku tidak bersalah atas empat pertuduhan iaitu dua pertuduhan mendatangkan cedera, menggunakan kekerasan jenayah dan berkelakuan tidak senonoh dengan mengeluarkan perkataan kurang sopan di Balai Polis Trafik Kota Damansara.

Dalam prosiding itu, Farid diwakili peguam Megat Syazlee Mokhtarom dan perbicaraan di hadapan Majistret Nor Ariffin Hisham bersambung pada Jumaat (14 Dis).

Sumber : Bernama/AI/ai
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Iklan

Lebih banyak artikel Berita

Iklan