Images
  • mamat exist
    Mamat Exist. (Gambar: Mamat Exist/Instagram)

Ezad syorkan Mamat supaya cari teman hidup

KUALA LUMPUR: Pernah terjerumus dalam kancah dadah suatu ketika dahulu, penyanyi Malaysia Ezad Lazim mengongsi beliau memahami nasib yang menimpa Mamat.

Maka itu, beliau mencadangkan agar sahabatnya itu berkahwin.

"Saya ada syorkan kepada Mamat supaya mencari teman hidup. Dia (Mamat) tidak boleh terus hidup bersendiri," kata Ezad, seperti dipetik oleh laman berita Harian Metro.

Ezad, atau nama sebenar Mohd Rohaizad Mohamad Lazim, berkata kehadiran seorang isteri sangat membantu sang suami yang terjebak dengan dadah.

Bagi bekas vokalis kumpulan Exists itu, isteri dan anak-anaknya menjadi tulang bekalang untuk beliau berubah. Ezad kini sudah bebas dadah selama lebih lima tahun, lapor Harian Metro.

"Selain itu, kesungguhan diri untuk berhenti mengambil dadah juga sangat penting jika penagih mahu kembali kepada kehidupan normal.

"Biarpun ia agak sukar dilakukan, saya bersyukur kerana isteri dan keluarga banyak memberikan sokongan untuk pulih.

"Menerusi sokongan moral daripada orang sekeliling terutama isteri, keluarga dan rakan, kita akan jadi lebih kuat semangat," katanya kepada Harian Metro.

Ezad mendirikan rumah tangga dengan Nor Azeana Ramli pada 2013.

Pasangan itu dikurniakan dua cahaya mata iaitu Puteri Rania Keisha, 6 tahun, dan Putra Mohammad Darwish, 3 tahun.

Baru-baru ini, Ezad dan Mamat bergabung menghiburkan peminat dalam Konsert Exists Reunion di Stadium Malawati, Shah Alam.

Bagaimanapun semasa mempromosikan konsert itu, Mamat ditahan oleh pihak berkuasa atas kesalahan dadah. Penyanyi itu ditahan reman, namun dibebaskan dengan jaminan polis pada 10 September. 

- Agensi berita/AI/ai

Top