Skip to main content

Iklan

Iklan

Hiburan

Ezad Lazim kini tebus kembali ‘kehilangan’nya di S’pura tahun lalu

Bekas penyanyi Exist itu diberi ‘peluang’ untuk menebus kembali kegenjotan tersebut. Ezad akan berada di Singapura pada Sabtu ini (28 Apr) untuk menyanyi dalam satu lagi rancangan, iaitu Sinar Lebaran 2018. 

Anggaran Waktu Membaca:
Ezad Lazim kini tebus kembali ‘kehilangan’nya di S’pura tahun lalu

(Gambar-gambar: Ezad Lazim)

Diterbitkan : 26 Apr 2018 11:35PM Dikemas Kini : 27 Apr 2018 12:09AM

BERITAMediacorp: Beliau sepatutnya menyanyi dalam program Muzika Extravaganza di Singapura pada Julai tahun lepas, satu rancangan terbitan bersama Mediacorp dan RTM.

Namun kelibat penyanyi Ezad Lazim yang dijanji-janjikan kepada penonton - tidak muncul-muncul.

Kini, bekas penyanyi Exist itu diberi ‘peluang’ untuk menebus kembali kegenjotan tersebut. Ezad akan berada di Singapura pada Sabtu ini (28 Apr) untuk menyanyi dalam satu lagi rancangan, iaitu Sinar Lebaran 2018. Rakaman rancangan tersebut akan dilakukan pada hari berkenaan di kampus Mediacorp.

“Saya bersyukur pihak Eaglevision, Mediacorp sudi undang saya lagi. Alhamdulilah masih beri kepercayaan pada saya lagi dan bertanya khabar tentang saya maknanya mereka percaya saya, Alhamdulillah. Sesiapa yang mengundang saya dan beri saya peluang itu Alhamdulillah, sebab sebelum ini saya risau jugak bila ada yang tahu saya sakit.

“Ketika itu, banyak yang tak nak ambil saya menyanyi. Bila sekarang dah perlahan-lahan pulih, insya Allah saya akan berikan yang terbaik,” dedah Ezad secara jujur kepada BERITAMediacorp.

Beliau yang popular dengan lagu Alasanmu bersama Exist, berjanji akan menjaga kesihatan dan memberikan komitmen yang terbaik untuk rakaman program Sinar Lebaran 2018. Undangan tersebut juga secara tidak langsung memberinya semangat selain dapat bertemu kembali rakan-rakan artis dari Singapura yang turut sama menjayakan rakaman televisyen tersebut.

(Gambar-gambar: Ezad Lazim)

Antara artis lain yang akan menyerikan rakaman program itu, yang akan disiarkan pada malam Hari Raya pada Jun nanti, ialah Rahimah Rahim, Jatt Ali, Sufie Rashid, Hariani Hassan Bakri, Huda Ramdzan, Farhan Shah, Faridzuan Faris, Isnina dan Hetty Sarlene. Turut menjayakannya selaku hos ialah Suhaimi Yusof dan Khairudin Samsudin.

“Saya rasa ghairah sebab dah lama tak buat TV program untuk Singapura. Kali ini dapat pulak jumpa bakat- bakat Singapura yang dah lama tak jumpa. Difahamkan, saya seorang sahaja artis Malaysia (diundang).

“Rasa teruja jugaklah Alhamdulillah. Saya difahamkan tiket untuk rakaman pun dah habis. Seronok pakai baju Raya nanti,” kata Ezad.

APA SEBENARNYA TERJADI PADA 2017?

Sebenarnya semasa sesi latihan Muzika Extravaganza tahun lalu, Ezad sakit teruk sehingga perlu dikejarkan ke sebuah hospital Singapura untuk dirawat. Itu jelas satu pengalaman yang beliau tidak dapat lupakan kerana cukup perit.

(Gambar-gambar: Ezad Lazim)

Penyanyi yang kini bergerak secara solo tanpa kumpulan Exists itu termuntah-muntah berkali-kali sehingga membuatnya sangat lemah dan tidak bermaya selain menahan kesakitan. Beliau tidak diizinkan oleh doktor untuk terus menyertai program tersebut bersama dengan barisan penyanyi-penyanyi dari Singapura dan Malaysia ketika itu.

Ketika dihubungi menerusi panggilan jauh ke Kuala Lumpur baru-baru ini, bapa kepada dua orang anak yang juga sinonim dengan lagu Mengintai Dari Tirai Kamar ciptaan Saari Amri itu, berkongsi begini dengan BERITAMediacorp:

“Saya di kuarantin di hospital , masuk pagi dan keluar malam. Tidak ada tenaga dan diberi drip beberapa botol masuk ke badan. Doktor tidak yakin saya boleh teruskan dengan persembahan untuk malam itu.”

EZAD ALAMI GERD… ATAU ‘KENA BUAT’ ORANG?

Doktor mengesahkan sakit yang Ezad mengalami ketika itu adalah GERD atau gastroesophageal reflux. Ia adalah keadaan di mana isi perut iaitu makanan atau minuman yang diambil tertolak semula ke saluran esofagus iaitu struktur seperti tiub yang menyambungkan mulut dengan perut. Ia menyebabkan pesakit tidak rasa selesa di bahagian perut dan dada seakan penyakit gastrik kronik juga.

Apabila Ezad pulang, beliau memilih untuk tidak menaiki pesawat kerana bimbang akan muntah berterusan dalam pesawat selain dari kesakitan akibat penyakit GERD yang menyerangnya itu. Setelah pulang ke Kuala Lumpur, beliau bertolak ke kampungnya di Kedah untuk mendapatkan rawatan alternatif daripada pusat Darul Syifa atas saranan orang tuanya.

(Gambar-gambar: Ezad Lazim)

“Kalau ikutkan banyak jugak andaian yang diberikan tapi saya hanya berserah pada Tuhan. Saya berharap agar Tuhan dapat sembuhkan saya. Saya tak nak taulah siapa yang ‘buat’ saya. Bila (pergi) ke doktor, doktor kata sakit GERD.

”Bila ke rawatan alternatif pula dikatakan terkena perbuatan orang, dah lama saya kena, macam-macamlah. Saya pun tidak tau nak percaya yang mana. Saya terima ini sebagai ujian bagi saya. Mungkin saya harus berjaga-jaga dan ingat,” kata penyanyi yang pernah membintangi beberapa buah filem termasuk Mami Jarum dan Tangkai Jering itu.

TERIMA HAKIKAT & TERIMA PENILAIAN DOKTOR

Kini, Ezad akui harus menerima hakikat bahawa rupa-rupanya beliau menghidap penyakit GERD yang menganggu kehidupan seharian beliau selama hampir tiga tahun lamanya. Beliau tidak menafikan semakin kuat dan berfikiran positif kini dengan mengambil ubat doktor dan menjaga pemakanan sehariannya.

Kekuatan diri sendiri serta sokongan yang diberikan oleh isterinya, Nor Azeana Hj. Ramli dan keluarga yang membuatnya semakin bersemangat untuk berfikiran positif sahaja tentang penyakitnya.

Kata Ezad: “Saya terima apa saja yang doktor katakan. Saya bersyukur dapat belajar untuk lebih kuat. Mudah-mudahan insya Allah.”

Ubat melawan angin antara ubat-ubatan dari doktor yang sentiasa menjadi pendampingnya sekarang ini. Di sebalik penderitaan disebabkan penyakit GERD itu, beliau tetap bersyukur kerana mampu juga untuk berpuasa penuh setelah mendapat rawatan dari doktor.

(Gambar-gambar: Ezad Lazim)

“Alhamdulillah, sekarang boleh puasa. Kalau dulu takut nak puasa, saya cuba bangun makan sahur, boleh jugak berpuasa sebab semangat itu kuat. Ini adalah puasa sunat dan puasa yang saya ganti, insya Allah ganti perlahan-lahan,” kongsi Ezad kepada kami dengan nada gembira.

Cuma beliau mesti terus berpantang juga khususnya dari bab pemakanan seperti pesakit gastrik. Pesakit GERD tidak digalakkan memakan makanan pedas-pedas atau berminyak.

“Kadang teringin jugak tapi kadang bantai jugak lah kan (ketawa),” ujar beliau berterus terang. 

Sumber : BERITA Mediacorp/FH/nk
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Iklan

Lebih banyak artikel Berita

Iklan