Images
  • marvel eternals film
    Petikan filem Eternals (Gambar: Marvel)

Eternals kutip AS$71 juta di panggung AS; sambutan penonton pula bercampur-campur

AMERIKA SYARIKAT: Eternals, salah satu filem Marvel paling bercita-cita tinggi untuk memperluaskan dunia adiwiranya, sudah mula ditayangkan di pawagam-pawagam America Utara dengan kutipan sekitar AS$71 juta (S$96 juta) dalam jualan tiket pada hujung minggu, menurut anggaran studio.

Berbanding dengan prestasi kebanyakan filem pecah panggung lain, pembukaan bagi Eternals boleh dicemburui. Hanya tiga filem lain yang mencatat pembukaan lebih baik semasa pandemik, iaitu Black Widow (AS$80.3 juta atau S$108.5 juta), Shang-Chi And The Legend Of The Ten Rings (AS$75.3 juta, S$101.7 juta) dan Venom: Let There Be Carnage (AS$90 juta, S$121.6 juta). Namun bagi penerbit 'blockbuster' Marvel, pelancaran Eternals dari segi beberapa sudut menunjukkan satu kegenjotan setelah 26 filem berturut-turut.

Lebih membimbangkan bagi Walt Disney Co ialah respons penonton yang bercampur-campur terhadap filem arahan Chloe Zhao sepanjang 157 minit itu yang mengisahkan tentang sekumpulan adiwira yang tidak akan mati.

Filem itu adalah yang pertama dalam Marvel Cinematic Universe (MCU) yang diberi ranking "busuk" dalam skor pengkritik agregat Rotten Tomatoes, dengan hanya 47 peratus ulasan dianggap positif. Orang ramai memberikannya gred yang lebih rendah – iaitu "B" berdasarkan tinjauan CinemaScore – berbanding mana-mana filem MCU sebelumnya.

Namun hakikatnya sejak awal lagi, Eternals adalah satu arah yang agak jarang diambil oleh Marvel.

Dengan mengambil Zhao, yang filem arahannya Nomadland pada awal tahun ini memenangi filem terbaik dan pengarah terbaik di Anugerah Akademi, gergasi buku komik itu bekerjasama dengan seorang pembikin filem yang dikagumi seringkali dikaitkan dengan realisme rumah seni berbanding grafik dihasilkan komputer.

Jalan cerita Eternals itu juga memperkenalkan adiwira-adiwira asing yang kurang dikenali, yang kewujudannya merangkumi keseluruhan sejarah manusia.

Dengan pelakon yang ramai dan rencam termasuk Gemma Chan, Richard Madden, Angelina Jolie dan Kumail Nanjiani, Eternals berani memperkenalkan pelbagai perkara baru – termasuk adiwira kurang pendengaran yang pertama bagi MCU. Watak yang dimainkan oleh Lauren Ridloff itu belum pernah dicuba sebelum ini dalam francais tersebut.

David A Gross, yang mengendalikan syarikat perundingan filem Franchise Entertainment Research, menganggarkan sambutan negatif terhadap Eternals mungkin menyebabkan pendapatannya susut sedikit sekitar 10 peratus di pawagam.

Sekalipun demikian, Gross menekankan, prestasi filem itu masih "kukuh".

Eternals, yang menelan belanja sekitar AS$200 juta (S$270.2 juta) untuk diterbitkan, mendapat sambutan hangat di luar negara, mencatat kutipan AS$90.7 juta (S$122.5 juta) di 46 wilayah antarabangsa.

Filem itu bagaimanapun tidak ditayangkan di China dan dijangka tidak akan ditayangkan pada masa hadapan walaupun diarahkan oleh pembuat filem kelahiran China. Penerbitan Marvel sebelum ini, Shang-Chi And The Legend Of The Ten Rings, filem adiwira Asia pertama studio itu, juga belum mendapat kebenaran untuk ditayangkan di China.

Sebab-sebab filem itu tidak diluluskan bagaimanapun tidak jelas, namun China menapis ketat filem-filem yang dibenarkan untuk ditayangkan.

Hubungan AS-China semakin tegang sejak beberapa tahun kebelakangan ini. Ramai juga tahu bahawa Zhao pernah berkata dalam temu bual 2013 bahawa China adalah negara "di mana terdapat pembohongan di mana-mana".

Pada April lalu, kejayaannya merangkul piala Oscar tidak dilaporkan oleh media rasmi China dan sebarang sebutan mengenainya dipadam daripada internet di China. 

- AP/TQ/tq

Top