Images
  • erra fazira umie aida
    (Gambar-gambar: Facebook/Erra Fazira & Instagram/umieaida9)

Erra Fazira mohon maaf kali ketiga pada Umie Aida

KUALA LUMPUR: Teka-teki berhubung status di laman Instagram pelakon wanita terkenal, Umie Aida yang seakan-akan membayangkan perselisihan faham dengan seorang rakan artis yang tidak dinamakan beliau akhirnya terjawab.

Jawapan pada soalan itu terungkai sebaik pelakon dan penyanyi jelita, Erra Fazira mengemukakan permohonan maaf secara terbuka kepada Umie di laman Instagramnya, lapor Astro Awani.

Catatan Instagram Erra tengah hari tadi (14 Jun) menjadi bahan perbincangan di media sosial.

Ini menyusuli tindakan Umie yang tidak menamakan siapakah rakan artis yang didakwa mengkhianati persahabatan yang terjalin antara mereka sejak sekian lama.

“Kepada semua, saya mohon maaf di atas segala apa yang terjadi. Saya manusia biasa yang ada buat salah dan pernah menyakiti hati teman saya, Umie.

“Umie pernah memaafkan saya sebelum ini dan saya mengecewakannya lagi buat kali ketiga. Umie memendam perasaan dan pernah menghantar mesej secara peribadi dengan baik,” tulis Erra.

Astro Awani melaporkan, dalam permohonan maaf secara terbuka itu juga, Erra turut mengharapkan pengakuan itu dapat menghentikan perbalahan dan perdebatan semua pihak khususnya di media sosial.

Erra, 45 tahun, pada masa yang sama juga berharap konflik yang tercetus antara beliau dan Umie akan berakhir sebaik permohonan maaf itu dikemukakannya.

Perselisihan yang tercetus antara kedua mereka juga, disifatkan Erra memberi pengajaran besar kepadanya, lapor Astro Awani.

“Umie jika tiada bukti, tidak akan bersuara. Saya harap dengan pengakuan ini dapat menghentikan semua perbalahan. Saya belajar daripada kesilapan dan akan memperbaiki kekurangan diri.

“Ternyata saya banyak kekurangan dan harus terus baiki diri. Saya mohon maaf sekali lagi pada semua, termasuk Umie,” kata Erra.

- Agensi berita/ZM/zm

Top