Skip to main content

Iklan

Iklan

Hiburan

Ella derma barangan peribadi untuk pelarian Palestin

Ratu rock Malaysia, Ella Aminuddin, teruja dapat menyertai misi kemanusiaan ke Lubnan bagi membantu mangsa pelarian Syria.

Anggaran Waktu Membaca:
Ella derma barangan peribadi untuk pelarian Palestin

Ratu rock Malaysia, Ella Aminuddin. (Gambar: Instagram ellaaminuddin)

Diterbitkan : 10 Apr 2019 12:46PM Dikemas Kini : 10 Apr 2019 12:48PM

KUALA LUMPUR: Ratu rock Malaysia, Ella Aminuddin, teruja dapat menyertai misi kemanusiaan ke Lubnan bagi membantu mangsa pelarian Syria.

Ella atau nama sebenarnya Nur Zila Aminuddin, 53 tahun, berkata dia sudah lama memendam hasrat untuk menyertai misi sedemikian dan mula membuat persediaan sejak lapan tahun lalu.

"Kami bekerjasama dengan beberapa badan bukan kerajaan (NGO) sebelum ini. Tapi kebanyakannya sudah ada aktivis dan selebriti yang bersama dengan mereka.

"Jadi tahun ini adalah masa yang sesuai untuk turut serta membantu dalam misi kemanusiaan, menggalakkan kedamaian, selari dengan album saya Peace, Love, Rindu," kata Ella kepada mStar Online.

Ella ditemui ketika menghadiri sidang media Kedamaian Kemanusiaan Berhad (KKB) dan kempen #1follower1ringgit di Grand Millenium, Bukit Bintang, Kuala Lumpur pada Selasa (10 Apr).

Di majlis itu, Ella bersama suaminya, Azhar Ghazali, dilantik menjadi ikon kemanusiaan sebagai kolaborasi bersama KKB dalam usaha melancarkan kempen untuk mengumpul dana yang akan disalurkan kepada para pelarian Palestin dan Syria di Lubnan.

Justeru, Ella dan suaminya dijangka berangkat ke Lubnan pada 26 April ini bagi menyertai lawatan ke beberapa kem penempatan pelarian di Lembah Beeka, Lubnan.

Penyanyi itu memberitahu mStar Online beliau sudahpun mengumpulkan beberapa barangan peribadi miliknya untuk didermakan kepada mangsa pelarian di sana.

"Kita tahu keadaan mereka di sana sangat daif, budak-budak kecil kutip makanan. Ketika musim sejuk, mereka hidup dalam kesejukan.

"Saya sendiri ada banyak baju-baju yang sudah dikumpul untuk dihantar ke sana. Tak kisah jenama apa pun.

"Baju Dolce & Gabbana pun saya dah kumpulkan untuk musim sejuk dekat sana. Lagipun bukan kita pakai dekat sini, saya sanggup beri," ujarnya.

BUAT PERSEDIAAN MENYELURUH

Selain itu, Ella juga membuat pelbagai persiapan dari segi emosi dan fizikal termasuk berjumpa dengan beberapa rakan artis yang pernah menyertai misi sedemikian.

"Kami sedar akan risiko untuk ke sana. Mereka yang ke Palestin sebelum ini pun disoal siasat dan diperiksa dengan teliti.

"Saya ada bertemu rakan artis seperti Fara Fauzana, Jihan Muse dan Zara Zya, mereka ada berkongsi pengalaman ketika menyertai misi kemanusiaan sebegini.

"Insya Allah jika kami sampai ke sana, kami akan fikirkan aktiviti yang boleh melegakan mereka. Kalau dapat buat mereka tersenyum pun dah cukup bermakna buat Ella," katanya kepada mStar Online.

Sebelum ini, Ella pernah dipilih sebagai peran contoh oleh Yayasan Kebajikan Negara (YKN) bagi mempromosikan pemikiran positif dalam kalangan belia dan muda-mudi.

Sumber : Agensi berita/fz
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Iklan

Lebih banyak artikel Berita

Iklan