Images
  • upin
    (Gambar: Upin & Ipin/Facebook)

Elemen tempatan jadi kekuatan filem animasi Upin & Ipin raih anugerah antarabangsa

KUALA LUMPUR: Elemen tempatan yang diterapkan menerusi filem animasi 'Upin dan Ipin: Keris Siamang Tunggal' yang mengisahkan hikayat dongeng Melayu lama menjadi antara kekuatan serta pemangkin filem itu bersaing dengan filem animasi antarabangsa.

Pengarah Urusan Les' Copaque Production Sdn Bhd Burhanuddin Md Radzi berkata kekuatan itu terbukti dengan kejayaan filem tersebut merangkul Anugerah Filem Cetera Terbaik pada Festival Animasi Antarabangsa 2019 (Animaze) di Montreal, Kanada, bulan lalu.

Menurut Burhanuddin, ia merupakan hasil pendekatan berbeza yang menjadi elemen filem animasi tempatan itu berbanding filem animasi antarabangsa terutama dari Barat yang mengetengahkan penceritaan agak 'cliche'.

Setelah filem itu memenangi beberapa anugerah, Burhanuddin terdorong untuk menghantar penyertaan ke beberapa festival terpilih lain di peringkat antarabangsa.

"Ternyata usaha kita mendatangkan hasil dan ia menjadi pembakar semangat kepada kejayaan berterusan yang bakal dicapai oleh filem animasi itu di peringkat antarabangsa," katanya.

Menurutnya lagi, filem animasi itu turut terpilih mewakili Malaysia untuk bersaing dengan lima filem lain dari rantau Asia termasuk Australia dan New Zealand bagi merebut trofi emas kategori Filem Cereka Terbaik di Asian Academy Creative Awards 2019 (AAA) di Singapura pada 5 Disember.

Filem animasi yang mula ditayangkan pada 21 Mac lepas itu berjaya meraih lebih RM26 juta (S$8.4 juta) selepas ditayangkan selama tiga minggu di Malaysia.

Malah, ia turut tersenarai bersama 32 filem animasi antarabangsa lain bagi pencalonan Anugerah Academy atau Oscars 2020 bagi kategori Filem Animasi Terbaik.

"Sekurang-kurangnya pihak kami sudah cuba menghantar penyertaan dan jika menang ia membuktikan produk tempatan juga layak dibawa ke pentas antarabangsa," kata Burhanuddin.

Beliau berkata filem yang menelan kos RM20 juta (S$6.5 juta) itu turut tersenarai sebagai finalis Filem Cereka Animasi Terbaik di Festival dan Ekspo Animasi Antarabangsa Palm Springs 2019 yang akan berlangsung di California, Amerika Syarikat pada 14 dan 15 Dis ini.

- BERNAMA/HA/ha

Top