Images
  • eddie vedder fb
    Penyanyi Amerika Syarikat yang juga merupakan vokalis Pearl Jam, Eddie Vedder (Gambar: Karen Loria menerusi Facebook/Eddie Vedder)

Eddie Vedder lancar lagu baru, umum tarikh album solo pertama dalam 11 tahun

AMERIKA SYARIKAT: Penyanyi Amerika Syarikat Eddie Vedder pada Khamis (18 Nov) mengeluarkan 'buah tangan' untuk para peminatnya - iaitu lagu single terbaru dan tarikh pelancaran bagi album solonya yang akan datang, lapor laman Rolling Stone.

Penyanyi yang dikenali sebagai vokalis Pearl Jam itu, menghiburkan penggemar muzik rock dengan balad akustik berjudul The Haves, yang merupakan salah satu
lagu bagi album Earthling yang boleh dijangkakan pada 11 Februari tahun depan.

Menurut laman Guitar World, lagu yang diterbitkan pada Khamis itu adalah karya terbaru Vedder sejak Long Way dikeluarkan pada September.

Lagu Long Way menggandingkan penyanyi tersebut dengan gitaris Josh Klinghoffer dan pemain dram Chad Smith, kedua-duanya dari Red Hot Chili Peppers, serta pemain papan nada Heartbreakers, Benmont Tench.

Ia juga adalah lagu pertama daripada album solo Earthling, diikuti dengan lagu ballad The Haves yang dikeluarkan pada Khamis.


Album tersebut akan diterajui penerbit bagi Ozzy Osbourne/Post Malone, Andrew Watt dan bakal diterbitkan di bawah Seattle Surf/Republic Records, lapor Guitar World lagi.

Ia merupakan album solo ketiga Vedder, setelah album soundtrack bagi filem Into The Wild pada 2007 dan Ukelele Songs pada 2011.

Para peminat juga boleh membeli piring hitam 7 inci The Haves (dengan lagu Long Way di 'A-side') menerusi laman Pearl Jam, dan membuat tempahan awal bagi album Earthling menerusi laman Vedder. 

- Sumber web/TQ/tq

Top