Skip to main content

Iklan

Iklan

Hiburan

Dunia filem Melayu S'pura masih 'bertatih-tatih'

Yang jelas, perbezaannya amat ketara sekarang, dengan filem Melayu terakhir yang berjaya pecah panggung di rantau ini adalah filem Banting, terbitan Papahan Films pada 2015.

Anggaran Waktu Membaca:

SINGAPURA: Tahukah anda bahawa secara purata, satu hingga dua filem Melayu diterbitkan di sini setiap tahun?

Ini belum mengambil kira filem-filem pendek yang dihasilkan oleh para pembuat filem.

Bagaimanakah landskap industri filem Melayu di sini sekarang berbanding suatu ketika dahulu?

MASIH TIDAK DAPAT LAWAN "ZAMAN GEMILANG"?

Sebut saja filem Melayu Singapura, pasti ramai yang mengaitkannya dengan zaman gilang-gemilang di Jalan Ampas.

Yang jelas, perbezaannya amat ketara sekarang, dengan filem Melayu terakhir yang berjaya pecah panggung di rantau ini adalah filem Banting, terbitan Papahan Films pada 2015.

Bagi Encik Remi M Sali dari Studio 59 Concepts, meskipun sudah berkecimpung dalam industri ini selama 20 tahun, beliau berkongsi beberapa cabaran yang dihadapi para pembuat filem di sini.

Antaranya adalah untuk meningkatkan lagi jumlah penonton melalui tayangan aliran utama.

Filem terbaru Encik Remi misalnya, ditonton oleh para penduduk di Brunei melalui tayangan terhad dan di sini pula, hanya boleh ditayangkan secara privet.

Ini meskipun filem 'Konpaku' arahannya itu dicalonkan bagi Pesta Filem Timur Jauh di Itali baru-baru ini.

"Saya rasa lebih banyak sokongan yang perlu daripada syarikat pengedar sebabnya tidak banyak pihak pengedar yang minat mempromosikan filem Melayu kita. Sebabnya ia boleh dikatakan menjejaskan keuntungan.

"Mereka kata 'Filem Melayu, siapa yang akan tonton? Boleh dimainkan untuk masyarakat Melayu saja? Bagaimana cara pemasarannya?'."

BERI SOKONGAN DENGAN CARA TERMUDAH

Sebuah lagi filem yang akan diterbitkan tahun ini ialah 'Kenapa Aku?' dari kumpulan MerakStory.

Sebagai pemain baru, MerakStory turut berdepan dengan cabaran-cabaran seperti mencari sumber peralatan, jadual dan sebagainya.

Namun, kumpulan itu yakin bahawa dengan sokongan padu yang diberikan kepada para pembuat filem dan dorongan daripada masyarakat umum, ia akan menyemarakkan lagi dunia perfileman Melayu di sini.

"Jadi secara ringkas untuk masyarakat sokong filem bebas Melayu, kalau mereka tahu kumpulan yang menghasilkan filem ini, mereka boleh cari di media sosial, Facebook dan Instagram.

"Benda yang mereka tidak perlu bayar seperti tekan 'Like' ataupun komen atau kongsi supaya dapat disampaikan kepada khalayak," kata Pengasas dan Penerbit MerakStory Cik Bella Julita.

Di sebalik jumlah filem yang segelintir ini, kedua-dua Encik Remi dan Cik Bella tetap bersikap positif.

Ini kerana penghasilan filem-filem pendek yang ditayangkan secara online atau bebas masih pada "kadar yang sihat".

Lantaran itu, tidak keterlaluan jika filem Melayu tempatan digambarkan masih pada tahap "bertatih-tatih". 

Sumber : BERITA Mediacorp/ru
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Iklan

Lebih banyak artikel Berita

Iklan