Images
  • irwan main
    (Gambar: TODAY)

Dulu gemar lukis watak Pokemon, Budak Bedok Irwan Awalludin kini dicalonkan bagi Anugerah Grammy

SINGAPURA: Dilahirkan di Singapura dan pernah dibesarkan di sebuah flat satu bilik HDB di Bedok.

Pada 26 Jan, Encik Irwan Awalludin menaruh harapan akan dapat menjulang anugerah Grammy di Los Angeles setelah dicalonkan bagi kategori pakej rakaman terbaik.

Beliau adalah pereka kulit album artis Intellexual, yang terdiri daripada pemain trumpet Nico Segal dan pemain keyboard Nate Fox, yang terkenal menerusi kerjasama mereka dengan penyanyi rap Amerika Syarikat, Chance the Rapper.

Bagi Encik Irwan, pencapaian di persada muzik terbesar dunia di mana beliau berpeluang bekerjasama dengan penyanyi rap terkenal seperti Wiz Khalifa dan Ludacris, semuanya bermula di Singapura, di mana antara kenangan terindah semasa kecil adalah melukis watak-watak Pokemon kegemarannya.

Pengarah seni berusia 31 tahun itu turut berkongsi dalam wawancara bersama Mediacorp bahawa watak Pokemon kegemarannya ialah Onix.

"Semasa waktu kanak-kanak, saya ingat antara episod awal rancangan kartun Pokemon di mana Onix adalah watak Pokemon yang besar dan gagah, dan ia tidak seperti watak-watak yang lain," katanya. "Ia bukan seperti Pikachu?"

'SERING MELUKIS'

Seperti Onix, Encik Irwan juga tidak gentar mengambil laluan yang jarang dipilih oleh orang lain.

Encik Irwan menerima pendidikan di rumah dan tidak belajar di sekolah rendah seperti kanak-kanak sebayanya.

Pada 2000, setahun sebelum beliau menduduki Peperiksaan Tamat Sekolah Rendah, beliau berpindah ke Amerika Syarikat bersama ibu dan dua saudara perempuannya, dan menuntut di sebuah sekolah menengah awam.

Berusia hanya 11 tahun pada waktu itu, perubahan budaya ketika itu agak janggal baginya dan beliau berpaling kepada seni lukisan untuk mengatasi masalah itu.

"Saya selalu melukis. Saya teringat dahulu saya membibit sebuah fail dengan lukisan-lukisan saya dan teman-teman saya akan meminta saya menunjukkan lukisan saya. Ia satu cara bagi saya mengenali lebih ramai kawan," katanya.

Minat dalam pakaian jalanan atau streetwear mula berputik semasa beliau di sekolah tinggi sebelum memasuki Institut Seni Cleveland bagi mendalami reka bentuk kasut.

Ketika menuntut di institusi itu, beliau belajar bagaimana untuk menghasilkan rekaan menggunakan sofwe seperti Photoshop dan Illustrator, yang digunakan untuk melakukan kerja sambilan bagi mereka kulit-kulit album dan logo bagi para penyanyi rap, bermula dengan artis-artis yang 'tidak begitu dikenali ramai'.


Tidak lama kemudian, Encik Irwan memutuskan untuk tidak meneruskan pelajarannya kerana ingin mendalami rekaan kulit album dan pakaian jalanan. 

Namun keputusan Encik Irwan itu pada mulanya tidak mendapat sokongan keluarga.

"Pada peringkat awal, ia sukar sekali. Meninggalkan bangku sekolah tanpa ijazah dan membuat seni berkaitan pakaian jalanan dan muzik... saya tidak dapat meraih banyak pendapatan," katanya.

SWAFOTO OLEH LUDACRIS

Encik Irwan berkongsi di sebalik setiap reka bentuk kulit album, tiada rutin yang sama dan citarasa setiap klien juga berbeza.

"Setiap orang mempunyai proses yang berbeza. Lazimnya, ia bermula apabila mereka memberitahu saya nama dan idea asas dan saya akan cuba mereka sesuatu yang membawa kesan dan mendorong para pendengar untuk mengklik kulit album dan mendengar karya muzik mereka," katanya.

Meskipun Encik Irwan mengatakan bahawa tiada detik yang paling menonjol sepanjang kerjayanya, beliau mengaitkan sebilangan besar kejayaannya semasa menyertai kumpulan hip-hop kolektif Amerika Two-9 sebagai Pengarah Seni, di mana beliau berjaya memperluaskan rangkaian kenalannya dalam industri muzik.

Daripada 100 kulit album yang direka sejauh ini, beliau masih ingat kerjasamanya dengan penyanyi rap terkenal Amerika, Ludacris yang mengirimkannya mesej yang pelik.

"Ketika bekerja bersamanya, Ludacris menginginkan kulit album yang memaparkan separuh wajahnya, seperti watak jahat Two-Face dalam Batman. Beliau ingin wajahnya kelihatan seperti separuh zombie dan separuh wajah asalnya."

"Beliau ingin saya melukiskan gambar itu dan ia agak melucukan kerana beliau menghantar swafoto menerusi kiriman teks," kata Encik Irwan. "Untuk menerima pesanan teks daripada Ludacris, ia adalah detik yang sangat menyeronokkan."

PERJALANAN KE GRAMMYS

Meskipun ramai artis yang tahu "apa yang mereka inginkan" pada kulit album dan mempunyai permintaan yang khusus, Encik Irwan mempunyai kuasa sepenuhnya terhadap reka bentuk kulit album yang dicalonkan bagi anugerah Grammy.

Ini kerana Intellexual mempunyai rakan-rakan kerjasama yang berbeza dan tidak tertakluk kepada mana-mana genre muzik, kata Encik Irwan.

Sedang Encik Irwan menanti-nantikan majlis penyampaian anugerah Grammy yang akan berlangsung pada 26 Jan, beliau berharap pencalonannya itu akan memacu kerjayanya selain membantu keluarganya - yang ramai masih di Singapura - untuk menyaksikan sendiri bahawa kerja kerasnya sudah membuahkan hasil.

"Saya masih menghubungi mereka dan mereka juga berbesar hati dan turut tumpang gembira," katanya. 

- TODAY/HA/aq

Top