Skip to main content

Iklan

Iklan

Hiburan

Dugaan demi dugaan datang menimpa keluarga Dayangku Intan, namun beliau bahagia…

Satu persatu dugaan mendatang bagi penyanyi era 1980-an Dayangku Intan sejak akhir-akhir ini. Oktober 2018 lalu, penyanyi itu pernah mendermakan ginjalnya kepada suami tersayang. 11 Februari nanti pula, anak lelaki mereka iaitu Wanku Mohd Ruknuddean pula akan mendermakan hati kepada si kakak...

Anggaran Waktu Membaca:

BERITAmediacorp: Satu persatu dugaan mendatang bagi penyanyi era 1980-an Dayangku Intan sejak akhir-akhir ini.

Pada Oktober 2018 lalu, penyanyi itu pernah mendermakan ginjalnya kepada suami tersayang iaitu Rosman Haji Yahil apabila Rosman mengalami kegagalan organ kerana terkena penyakit kencing tikus.

Jelas penyanyi bersuara serak-serak basah itu, suaminya yang sememangnya ada kencing manis dan darah tinggi menjadi lebih parah akibat terkena penyakit kencing tikus. Ia membuatkan buah pinggangnya mengecut.

“Memang saya rancang nak dermakan buah pinggang saya tapi tak sangka secepat macam itu,” kongsi Dayang.

(Gambar ihsan: Dayangku Intan)

Mujur doktor mendapati buah pinggang sebelah kanan penyanyi tersebut sesuai untuk didermakan kepada suami. Dayangku Intan yang dihubungi menerusi panggilan jauh ke Kuala Lumpur ditanya mengapakah beliau sanggup mendermakan buah pinggang kepada Rosman.

“Mestilah, itukan kawan baik, buah hati saya suami yang saya sayang. Orang kata kita ni berjanji kalau berkahwin dunia akhirat hingga ke Jannah. Kalau nyawa saya boleh kongsi pun saya kongsi,” katanya sambil ketawa.

Begitu kuatnya ibu kepada empat orang anak ini, beliau dibenarkan pulang ke rumah tiga minggu setelah berehat di hospital swasta.

“Saya dah buat kerja rumah seperti biasa dah mop lantai, cuci bilik air, masak. Nak pulih sepenuhnya mengambil masa dua tahun. Adalah sakit sikit-sikit,” katanya lagi.

(Gambar ihsan: Dayangku Intan)

Cuma Dayangku Intan mengalami alahan pada ubat Morfin yang diberikan kepadanya untuk menahan sakit setelah pemindahan organ tersebut. Katanya:
“Jadi mereka campur ubat supaya alahan itu tidak ada. Saya kata mugkin Allah mengasihi saya nak ampunkan banyak dosa saya yang lalu.”

Tiada apa yang lebih menggembirakan baginya apabila melihat suami kembali sihat seperti sediakala sekarang ini.

“Dia betul-betul sihat macam biasa. Saya bersyukur sangat, bahagia rasanya. Besar hati Allah mengizinkan segala-galanya yang saya buat ini berjalan dengan baik. Cuma sekarang menjaga pemakanan sajalah. Satu keluarga tak makan garam,” kongsi Dayangku Intan.

(Gambar ihsan: Dayangku Intan)

(Gambar-gambar ihsan: Dayangku Intan)

Pada 11 Februari nanti, anak lelaki pasangan tersebut iaitu Wanku Mohd Ruknuddean pula akan mendermakan hati kepada si kakak iaitu Wanku Intan Syarafana. Anak perempuan Dayangku Intan dilahirkan tanpa hempedu iaitu Biliary Artresia dan mempunyai parut di hati.

Dari nada suara yang ceria untuk temu bual ini ia bertukar menggambarkan kesedihan seorang ibu pula.
“Sudah tentu saya rasa sedih sebab dulu bila saya buat pemindahan buah pinggang untuk suami tanpa memikirkan akan apa yang akan terjadi, janji suami saya sihat. Sekarang saya akan lihat kedua anak saya yang saya sayangi akan masuk ke pintu pembedahan saya tak tahu apa yang akan berlaku, saya berserah pada Allah,” luah penyanyi ini yang pernah mempopularkan lagu-lagu hits seperti Semakin Rindu Semakin Sayang, Penyesalan dan Kita Insan Biasa (duet bersama Jay Jay).

Sebagai ibu beliau ingin usahakan yang terbaik untuk anak-anak. Selebihnya, beliau berserah kepada Allah SWT. Apa pula perasaannya dengan dugaan yang harus dilalui sekali lagi?

“Ada kawan-kawan kata macam-macam bala menimpa. Saya kata ini bukan bala ini satu rahmat dari Allah. Sepatutnya saya bersyukur ini satu rahmat yang saya kena terima dengan reda dan kalau ada yang pergi tinggalkan kita pun hanya di dunia. Saya akan dapat tiket kemudian kita jumpa di sana.”

Beliau yang pernah menceburi bidang politik pada mulanya ingin meninggalkan kerjaya nyanyian untuk seketika namun akur bahawa nyanyian sudah menjadi darah dagingnya selain menyedari bahawa pemindahan buah pinggang memerlukan kos yang amat tinggi.

Kongsinya: “Allah anugerahkan suara yang boleh saya gunakan untuk mencari rezeki saya terus bekerja balik, menyanyi, benda-benda lain saya pernah ceburi dulu, suami kena pulang balik ke kerja.”

(Gambar ihsan: Dayangku Intan)

Meskipun anak-anaknya perlu penjagaan rapi selama enam bulan setelah menjalani pendermaan hati nanti, beliau akan menimbangkan sekiranya ada permintaan untuknya menyanyi jika mereka kembali sihat lebih awal.

Dayangku Intan tidak lupa berpesan kepada anak-anaknya bahwa semua ini adalah sementara sahaja kerana ada di luar sana yang lebih susah daripada mereka dengan kesakitan yang lebih mencabar. Susunan dari Allah cantik pada pendapatnya.

“Terhempas jugaklah. Mengajar jugaklah pada saya. Mendongak meminta kepada Allah. Bila saya renung balik saya faham. Usaha saya mestilah yang terbaik benda ini semua Allah yang mengizinkan, Allah tahu yang terbaik untuk saya,” kata Dayangku Intan positif mengenai apa yang harus dilaluinya.

Dayangku Intan mengatakan beliau amat berbesar hati apabila ada juga peminat yang datang sejauh Indonesia dan Australia menjenguknya di hospital kelmarin.

“Peminat-peminat saya di Singapura kadang mesej di Instagram. Mana tahu satu hari nanti saya aktif pula di Brunei dan Singapura untuk berjumpa mereka. Kita tak tahu ramai yang menyayangi kita di luar sana tanpa kita sedar,” ucap beliau penuh harapan. 

Sumber : BERITA Mediacorp/tq
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Iklan

Lebih banyak artikel Berita

Iklan