Skip to main content

Iklan

Iklan

Hiburan

Dua tiga kali tolak sertai Gegar Vaganza, Yantzen akhirnya masuk gelanggang GV7

Program Gegar Vaganza ke-7 (GV7) akan bermula 11 Oktober ini dan satu-satunya wakil dari Singapura ialah penyanyi rok veteran iaitu Yantzen.

Anggaran Waktu Membaca:

BERITAmediacorp: Program Gegar Vaganza ke-7 (GV7) akan bermula 11 Oktober ini dan satu-satunya wakil dari Singapura ialah penyanyi rok veteran iaitu Yantzen.

Adakah Yantzen akan dapat membawa bendera Singapura terbang tinggi dalam pertandingan itu sebagaimana dibuktikan Hady Mirza tahun lalu? (Hady muncul juara bersama GV6 dengan Naqiu).

Apakah Yantzen ada rasa sebarang tekanan untuk menjadi peserta GV7 ini?

Itulah yang mungkin bermain di benak para peminat muzik Singapura nanti apabila pertandingan bermula. Yang pasti, semasa muzim GV6 tahun lalu, Hady Mirza dan Jatt (pemenang tempat ketiga), sudah menetapkan piawai baru yang tinggi bagi peserta Singapura.

GV7, anjuran televisyen Astro, dengan tajuk “Mara Suara Membara”, kali ini mencatat rekod bilangan peserta terbanyak sepanjang sejarah penganjurannya. 14 penyanyi kesemuanya bakal bertanding.

Mereka adalah Mus May, Cliff Umar (Projek Pistol), Aju (Success), Oja, Nomad, Noraniza Idris, Rozita Izlyn, Ayu Damit, Linda Nanuwil, Ashira, Haslinda, kumpulan Indigo dan kumpulan Eva, selain Yantzen sendiri.

Kumpulan Indigo.

Buat pertama kalinya, hanya seorang sahaja penyanyi dari Singapura - iaitu vokalis kumpulan Rusty Blade itu -tersenarai atas sebab-sebab tertentu.

Raqim Ahmad, Naib Presiden Kandungan Hiburan dan Drama Astro menerangkan kepada BERITAmediacorp:

“Disebabkan pandemik dan kekangan perjalanan rentas negara maka sesi dengar suara bersama peserta tidak dapat dijalankan di Singapura seperti tahun lepas. Bagaimanapun, kita masih bertuah kerana saudara Yantzen berada di Malaysia dan bersetuju untuk menyertai GV pada tahun ini.”

Sebenarnya, tambah beliau, terdapat beberapa bakal peserta dari Singapura yang melalui sesi dengar suara secara online. Namun disebabkan kekangan rentas negara dek pandemik COVID-19, hasrat mereka untuk sertai GV7 terpaksa ditunda.

“Besar harapan kami supaya mereka akan menyertai GV pada tahun akan datang,” kata Encik Raqim.

Bagi Yantzen pula, apa sebabnya beliau menyambut tawaran GV kali ini? Ini respons beliau ketika dihubungi secara jarak jauh oleh BERITAmediacorp:

"Sebenarnya rasa terharu. Banyak kali saya tolak (sertai GV). Dua atau tiga kali. Saya tak biasa dengan lagu penyanyi lain. Musim ke-7 GV itu angka yang terbaik bagi saya. Yang penting doakan saya sihat. Menang kalah saya tak mengharapkan sebab ramai dari 14 peserta ini semua hebat-hebat.”

(Gambar: yantzen_is_back_/Instagram)

(Gambar: yantzen_is_back_/Instagram)

Menariknya beliau mengakui tidak rasa tertekan sangat untuk GV7. Yang lebih merisaukan beliau adalah soal 'terlupa lirik' atau melodi sewaktu menyanyi membawakan lagu-lagu penyanyi lain. Cuba bayangkan kalau Yantzen dikehendaki membawakan lagu dangdut atau lagu irama Malaysia untuk pertandingan GV?

Kata beliau terus-terang: “Saya tak pernah nyanyi lagu orang untuk berpuluh tahun. Saya berharap dapat beri fokus pada setiap lagu yang disarankan.”

Apakah lazim untuk penyanyi senior sepertinya terlupa lirik apabila menyanyi?

“Saya tak menafikan sebab saya pernah lihat dan saya sendiri pernah nyanyi lagu beberapa kali tapi ada jugak tertinggal bila sedang menyanyi," jawab Yanzten.

(Gambar: yantzen_is_back_/Instagram)

Pada usianya 61 tahun sekarang, mungkin tidak keterlaluan untuk menyifatkan Yantzen sebagai peserta paling “otai“ dalam senarai pertandingan musim ini.

“Saya nampak muda lagilah (ketawa). Saya tengok Mus (May) rambut dah beruban, saya tak lagi,” jawab beliau secara spontan sambil ketawa ketika ditanya mengenainya.

Kalau dahulu ketika bersama kumpulan Rusty Blade, Yantzen mendisiplinkan diri dengan bersenam dan berlatih demi memastikan nyanyiannya bertenaga, kini beliau berlatih di rumah sahaja dengan sistem karaoke.

Kumpulan Rusty Blade. (Gambar: yantzen_is_back_/Instagram)

Penyanyi manakah yang Yantzen rasakan bakal memberi saingan sengit dari senarai penyanyi-penyanyi yang bertanding untuk GV7?

“Semua hebat-hebat pun. Ini bukan sesuatu untuk kita rasa tergugat pun. Saya buat yang terbaik apa yang saya mampu. Harapkan saya sihat untuk fokus pada nyanyian saya agar ingat lagu atau ingat liriknya (ketawa),” katanya lagi. Jelas 'lupa lirik' nampaknya musuh awal Yantzen.

GV7 mengekalkan komposer Ramli MS dan penyanyi Khatijah Ibrahim sebagai juri tetap untuk tahun ini.

Konsert mingguan GV7 akan disiarkan secara langsung bermula 11 Oktober ini dari Pusat Konvensyen Antarabangsa Putrajaya (PICC). Bermula pada jam 9.00 malam, ia berlangsung selama 10 minggu setiap hari Ahad.

Rancangan GV7 juga bakal menerapkan langkah-langkah seperti jarak selamat fizikal yang ketat dan jumlah penonton terhad di lokasi. 

Sumber : BERITA Mediacorp/na
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Iklan

Lebih banyak artikel Berita

Iklan